KUALA LUMPUR: Laporan awal siasatan terhadap kemalangan yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Perak, Isnin lalu mendapati tiada bukti kegagalan sistem mekanikal pada bas berkenaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata dapatan awal Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM)) menunjukkan bahawa keadaan fizikal brek bas, kesemua pelapik brek dan dram brek bagi semua gandar masih berada di dalam keadaan yang memuaskan.
“Tidak terdapat sebarang ketidakseragaman pada dram brek mahupun kenipisan pada pelapik brek selain tiada petunjuk kegagalan mekanikal pada aspek-aspek ini yang boleh dikaitkan secara langsung sebagai punca kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut dari segi pemeriksaan fizikal tayar, Loke berkata didapati ketebalan bunga tayar dalam keadaan memuaskan dan mematuhi piawaian ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Komponen bahagian ‘steering’ dan suspensi secara menyeluruh adalah dalam keadaan memuaskan.
“Berdasarkan pemerhatian dan siasatan teknikal, tiada bukti merujuk kepada kegagalan sistem mekanikal yang menyebabkan kemalangan.
“Oleh itu, kemungkinan besar kemalangan berlaku berpunca daripada faktor lain seperti faktor manusia, keadaan jalan dan sebagainya,” katanya.
Justeru katanya, langkah penambahbaikan bersesuaian akan dipertimbangkan dan dilaksanakan berdasarkan penemuan akhir nanti bagi memastikan keselamatan jalan raya terus dipertingkatkan.
“Kementerian Pengangkutan (MOT) ingin menegaskan bahawa keselamatan pengguna jalan raya adalah keutamaan kami.
“Penguatkuasaan terhadap pematuhan piawaian keselamatan, kelayakan pemandu, dan pemantauan operasi syarikat pengangkutan akan terus diperketat secara berterusan.
“Kepada semua keluarga mangsa, MOT merakamkan ucapan takziah dan komited untuk memastikan keadilan ditegakkan serta tragedi sebegini tidak berulang,” katanya.
Katanya, MOT mengambil langkah proaktif menyiarkan penemuan awal itu bagi membantu siasatan lanjut oleh pihak berkuasa serta memberikan maklumat tepat kepada orang ramai.
Dalam nahas itu, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih ke kampus utama Tanjung Malim, Perak terbabit dalam kemalangan yang turut membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza.
Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.
-Berita Harian