PARIT: Jenazah lima sekeluarga termasuk empat beradik yang meninggal dunia susulan kemalangan lima maut termasuk empat beradik di KM 7 Jalan Jerantut Feri-Maran, Pahang, tengah malam Sabtu selamat dikebumikan dalam satu liang malam tadi.
Jenazah Mohamad Ikmal Ishak, 26, dan isterinya, Nur Arfiqah Aziz Jaafar, 23; serta tiga adik kandung Nur Arfiqah iaitu Mohammad Zulkifli, 21; Mohamad Azizul Hakimi, 19, dan Nurul Hazwani, 17, selamat dikebumikan jam 1.45 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Selat, Bota Kanan, di sini.
Suasana sayu dan sebak menyelubungi dini malam di waktu awal pagi apabila lebih 300 orang terdiri dari waris, saudara-mara serta sahabat handai arwah setia menghadiri pengebumian di tanah perkuburan itu selepas jenazah disolatkan di Masjid Jamek Bota Kanan, di sini dengan dihadiri kira-kira 500 orang.
Terdahulu, van membawa jenazah lima sekeluarga termasuk empat beradik itu tiba di Masjid Jamek Bota Kanan jam 12.30 tengah malam untuk disembahyangkan selepas dibawa berlepas dari Unit Forensik Hospital Jerantut, Pahang sekitar 6.45 petang Sabtu.
Suasana pilu turut menyelubungi kawasan ruangan solat masjid khususnya apabila waris terdekat diberi peluang memberi penghormatan terakhir sesudah kelima-lima jenazah disolatkan oleh kira-kira 300 jemaah sekitar 12.40 tengah malam.
Ia termasuk apabila ibu kepada jenazah empat adik itu dilihat bersedih dan menangis serta tangisan adik mereka, Ayuni turut didengari sewaktu diberi ruang menatap wajah jenazah adik-beradiknya sewaktu di ruang solat masjid sesudah solat jenazah selesai.
Kelihatan juga terdapat individu dipercayai ahli keluarga mangsa malah rebah kerana tidak dapat menahan sedih.
Sementara itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, Khairudin Abu Hanipah ketika ditemui pemberita di perkarangan masjid berkata, kerajaan negeri Perak akan meneliti bentuk bantuan termasuk kaunseling terhadap waris mangsa nahas itu.
Beliau berkata, ia termasuk sesi kaunseling terutamanya kepada adik bongsu mangsa dikenali sebagai Ayuni, 12 yang masih bersekolah selain kaunseling kepada ibu bapa empat beradik berkenaan.
Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) juga sudah diarahkan bagi memudah cara penyaluran tuntutan insuran RM5,500 terutamanya ke atas Allahyarham Nurul Hazwani Aziz Jaafar, 17, selaku pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Abdul Rahman Yaacob, di sini.
“Dari sudut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) apabila tragedi kematian akibat daripada kemalangan atau bencana, pelajar sekolah akan menerima tuntutan insurans RM5,500 dan saya pun sudah maklumkan kepada JPN untuk membuat penyaluran ini dengan kadar segera sebagai tanda bersimpati.
“Kita juga akan berbincang bersama kepimpinan Menteri Besar dari segi bentuk bantuan lain, sebagai tanda simpati. Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) juga diarah melakukan sesi kaunseling dengan menumpukan kepada adik bongsu mangsa agar emosinya tidak terganggu hingga boleh menjejaskan pembelajaran di sekolah.
“Tindakan awal yang lain juga yang mungkin kita laksanakan bagi keluarga adalah adalah meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pantau dan memberi bimbingan serta nasihat kepada ibu bapa mangsa supaya mereka boleh menerima takdir ini,” katanya.
Dalam kejadian menyayat hati itu, kereta Perodua Bezza dinaiki lima mangsa maut itu dipercayai membuat pusingan ‘U’ secara tiba-tiba sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard.
-Berita Harian
