PUTRAJAYA: Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menegaskan beliau tidak pernah terbabit dengan mana-mana parti politik sepanjang 38 tahun bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Selama 38 tahun saya bersama PDRM, saya tidak pernah terbabit dalam mana-mana parti politik,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.
Mohd Khalid juga menjelaskan, beliau menerima dengan hati terbuka isu kesilapan laporan media yang mengaitkannya dengan parti politik sebelum ini.
“Saya menerima dengan hati yang terbuka, insya-Allah pihak yang berkenaan sudah memohon untuk bertemu dengan saya dan saya akan bertemu dengan mereka dalam masa terdekat ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berharap hubungan rapat polis dengan media perlu diteruskan.
“Saya berharap hubungan yang rapat perlu diteruskan di antara polis bersama wartawan semua kerana ia menjadi pokok utama untuk kita memberikan laporan yang terbaik,” katanya.
BHonline-


