KUALA LUMPUR: Wanita yang maut selepas dikatakan tercampak keluar dari sebuah van di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) petang kelmarin, dikatakan bertengkar dengan suami dalam kenderaan sebelum dipercayai terjun.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata ia hasil siasatan awal dilakukan pihaknya selepas suami wanita terbabit ditahan susulan kejadian berlaku berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar itu.
“Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah berlakunya pertengkaran mulut antara suspek dengan mangsa berkaitan penggunaan van, kerana wanita itu tiada lesen memandu dan pernah terbabit kemalangan sebelum ini.
“Mangsa kemudian dipercayai terjun daripada kenderaan dinaiki bersama suaminya itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita ditemukan maut selepas dipercayai tercampak keluar dari sebuah van di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam jam 2.58 petang berhubung kejadian itu.
Sementara itu Rusdi berkata, meskipun mangsa terjun keluar dari van, suspek tanpa memberhentikan kenderaan terbabit terus memandu pulang ke rumah.
“Kita (polis) kemudian berjaya mengesan keberadaan suami mangsa dan menahannya, sebelum memaklumkan mengenai kematian isterinya.
“Suspek kini ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes kematian isterinya itu,” katanya.
Semalam, polis mengesahkan tangkapan suspek, 50, yang bekerja sebagai penghantar barang penghawa dingin dan turut mempunyai satu rekod jenayah lampau dan dua rekod dadah.
Pasangan itu berkahwin selama 20 tahun dan mempunyai dua orang anak.
Saringan ujian air kencing ke atas suspek mendapati positif dadah jenis methamphetamine, benzo dan amphetamine.
Kes disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan kematian secara tidak sengaja.
BHonline-