Seremban: Seorang wanita meminta mana-mana pengguna jalan raya yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang merakam kemalangan di Kilometer 272.6 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara, dekat sini, 13 Mei lalu untuk tampil bagi membantu siasatan.
Dalam kemalangan antara jam 7 hingga 8.30 pagi itu, suami kepada wanita itu, Shah Iman Suratman, 31, parah pada bahagian kepala dan tidak sedarkan diri sehingga kini di hospital.
Junaidah Jefry, 30, berkata, rakaman itu penting bagi mengetahui punca suaminya boleh terbabit kemalangan kerana dia sendiri hanya mengetahui mengenai kejadian apabila suami tidak pulang sehingga jam 6 petang.
“Saya difahamkan kejadian itu berlaku pada waktu puncak ketika orang ramai keluar bekerja antara jam 7 pagi hingga 8.30 pagi. Suami dalam perjalanan dari rumah di Senawang ke tempat kerja di ibu negara.
“Ketika kejadian, suami saya menunggang motosikal, namun macam mana sebenarnya kejadian berlaku saya sendiri tidak pasti kerana dia masih dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) dan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Junaidah berkata, dia hanya mengetahui mengenai kejadian selepas menghubungi HTJ dan diberitahu suaminya sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) memandangkan lelaki itu gagal dihubungi.
“Pada jam 2 petang hari kejadian, rakan suami ada hubungi saya bertanya sama ada suami bekerja atau tidak kerana dia masih belum sampai di pejabat.
“Tapi saya mula rasa tak sedap hati apabila tak dapat hubungi suami dan WhatsApp dihantar juga tak berbalas yang menyebabkan saya menghubungi HTJ,” katanya.
Dia berkata, seorang mangsa kemalangan yang dirawat di HTJ yang mendakwa terbabit dalam kejadian sama menceritakan terdapat sebuah lagi kereta dalam kemalangan itu.
Bagaimanapun katanya, polis memaklumkan tidak menerima laporan daripada mana-mana pemilik kenderaan lain yang terbabit kemalangan di situ.
“Saya ada minta bantuan Plus kongsi rakaman kamera litar tertutup di lokasi, tapi diberitahu kamera itu tidak merakam kemalangan berlaku.
“Jadi sebab itulah saya minta kawan-kawan menguar-uarkan di Facebook jika ada sesiapa yang ada rakaman dashcam kejadian berlaku. Orang ramai yang mempunyai rakaman kejadian boleh hubungi saya di talian 0133678984,” katanya.
-Harian Metro


