Alor Setar: Pendakwah terkenal, Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli tampil memberi penjelasan bahawa video yang tular membabitkan seorang ulama menunaikan solat bersama bunian sudah dipadam sejak Oktober tahun lalu.
Menurutnya, rakaman video berdurasi 3.36 minit itu adalah video lama yang sudah dipadam dari rekod simpanan medianya.
“Semua video yang dikhuatiri mencetuskan kontroversi itu dipadam selepas perjumpaan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAIK) pada 13 Oktober 2024.
“Sejak perjumpaan itu, tidak ada sebarang video kontroversi baharu dimuat naik ke saluran media sosial kami. Video yang viral direkodkan sebelum sesi perjumpaan dengan JHEAIK diadakan.
“Saya ingin menegaskan bahawa tiada lagi kandungan bersifat kontroversi akan dimuat naik ke platform media sosial kami,” katanya.
Beliau pada masa yang sama menasihatkan semua pihak tidak menyebarkan atau menularkan video lama tersebut kerana ia tidak mencerminkan pendirian dan tindakan semasanya.
“Saya sudah dipanggil oleh JHEAIK untuk menerima nasihat dan teguran. Sesungguhnya saya amat menghargai teguran tersebut.
“Pihak kami bersikap terbuka dengan sebarang tindakan yang akan diambil susulan kontroversi terbaharu itu,” katanya melalui media sosial semalam.
Semalam, media melaporkan JHEAIK mengambil keterangan pendakwah berkenaan susulan daripada penularan video berkenaan kenyataan kontroversi terbabit dipercayai dirakam dua tahun lalu.
-Harian Metro