KOTA BHARU: Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif utama kejadian simbah asid membabitkan pengusaha spa di Bachok, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, berkata setakat ini punca kejadian belum dikenal pasti.
“Kita sudah menunjukkan gambar suspek yang ditahan kepada mangsa, namun setakat ini mangsa memaklumkan tidak mengenali suspek wanita yang juga pekerja kilang.
“Siasatan masih lagi dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar sama ada cemburu, dendam, hutang atau sebab lain.
“Keadaan mangsa juga kini semakin stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM),” katanya.
Terdahulu, suspek wanita berusia 38 tahun yang ditahan di hadapan sebuah kilang getah di Kuala Krai jam 4 petang semalam ditahan reman lima hari bermula hari ini.
Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian Sabtu lalu, pengusaha spa, Nor Faziera Muda, 27 terpaksa menjalani pembedahan selama enam jam selepas disimbah asid oleh tiga orang berpakaian purdah.
BHonline-


