KUALA LUMPUR: Kerajaan mengenakan duti anti-lambakan ke atas pengimportan produk gulungan rata besi atau keluli bukan aloi dari China, India, Jepun dan Korea Selatan bagi menangani amalan perdagangan tidak adil yang menjejaskan industri tempatan.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas siasatan mendapati produk berkenaan diimport pada harga lebih rendah daripada harga pasaran di negara asal, sekali gus menyebabkan kemudaratan material kepada pengeluar tempatan.
Siasatan itu membabitkan produk gulungan rata besi atau keluli bukan aloi selebar 600 milimeter atau lebih, yang disalut, disadur atau disepuh dengan timah — turut dikenali sebagai plat timah atau plat timah elektrolitik.
MITI berkata, siasatan dimulakan pada 14 Ogos 2024 susulan petisyen yang difailkan oleh Perusahaan Sadur Timah Malaysia Bhd (Perstima), satu-satunya pengeluar domestik bagi produk terbabit.
“Kerajaan memuktamadkan siasatan dan mendapati produk dagangan subjek itu diimport ke Malaysia pada harga lebih rendah berbanding harga jualan di negara asal dan mengakibatkan kemudaratan material kepada industri domestik,” katanya.
Berikutan itu, kadar duti anti-lambakan yang dikenakan ke atas import dari China adalah antara 4.48 peratus hingga 20.42 peratus, India (27.88 peratus), Jepun (15.74 peratus hingga 36.80 peratus), dan Korea Selatan (21.60 peratus hingga 35.43 peratus).
Menurut MITI, Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan menguatkuasakan kutipan duti anti-lambakan ke atas import produk terbabit selama lima tahun bermula 11 Mei 2025 hingga 10 Mei 2030.
“Pengenaan duti anti-lambakan ini dijangka dapat menangani kesan negatif akibat amalan perdagangan yang tidak adil ke atas industri tempatan dan mewujudkan persaingan pasaran yang lebih saksama,” jelas MITI.
Kementerian itu berkata, pihak berkepentingan seperti pengeluar tempatan, pengimport, pengeluar atau pengeksport asing serta persatuan berkaitan boleh mendapatkan salinan versi tidak sulit laporan penentuan muktamad dengan membuat permohonan secara bertulis kepada Pengarah Seksyen Amalan Perdagangan MITI.
Tindakan ini sejajar dengan komitmen Malaysia untuk melindungi kepentingan industri domestik tanpa menjejaskan aliran perdagangan sah yang telus dan adil.
Bernama-