KUALA LUMPUR: Institut Masa Depan Malaysia (MASA) meminta Kementerian Pendidikan (KPM) memperhebat usaha memperkukuh profesionalisme perguruan menerusi inovasi pedagogi, penyediaan infrastruktur digital yang kondusif serta insentif latihan berterusan yang berfokus kepada keperluan pendidikan abad ke-21.
Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd Amin, berkata langkah sedemikian penting, khususnya bagi menyokong guru di kawasan luar bandar dan pedalaman yang masih bergelut dengan jurang akses teknologi serta kemiskinan digital.
Beliau berkata, ia juga perlu mengambil kira kesediaan mendepani era digital, kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta cabaran globalisasi yang semakin pesat.
“Peranan guru menjadi semakin penting, mereka bukan sahaja menyampaikan ilmu, tetapi turut memupuk kemahiran insaniah, pemikiran kritis dan jati diri nasional dalam kalangan pelajar bagi melahirkan warga negara berdaya tahan, beretika dan kompetitif.
“Dalam konteks ini, kualiti pengajaran, keupayaan guru menangani keperluan pelajar yang pelbagai serta kesediaan mereka mengintegrasikan teknologi moden dalam amalan pedagogi perlu dijadikan tonggak utama kejayaan sistem pendidikan negara,” katanya dalam satu kenyataan bersempena sambutan Hari Guru 2025, hari ini.
Mengulas lanjut, Azril berkata, guru bukan sekadar penyampai ilmu tetapi juga arkitek utama dalam merangka dasar, membentuk pendekatan pedagogi dan membina budaya pembelajaran progresif yang berteraskan nilai dan realiti semasa.
Jelasnya, walaupun Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) sudah menggariskan pelbagai inisiatif penting seperti Standard Guru Malaysia (SGM) dan Program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD), isu berkaitan kesediaan dan pemerkasaan guru masih belum ditangani secara menyeluruh dan berkesan.
“Keutamaan dasar yang lebih cenderung kepada pencapaian akademik dan kesejahteraan murid tanpa pelaburan mampan dalam pembangunan profesional guru, membentuk satu jurang ketara yang berisiko menggagalkan aspirasi reformasi pendidikan negara.
“Malaysia kini berada di ambang transisi penting ke arah mewujudkan sistem pendidikan yang lebih inklusif dan mampan. Oleh itu, isu pembangunan profesionalisme keguruan wajar dijadikan agenda teras dalam wacana dasar serta pelaksanaan reformasi pendidikan.
“Penekanan tidak lagi seharusnya tertumpu kepada bilangan guru atau aspek fizikal semata-mata, tetapi perlu digerakkan ke arah peningkatan mutu pengajaran yang menyeluruh dan mampu memacu kecemerlangan pelajar secara holistik,” katanya.
BHonline-