KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa supaya bekas Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Ahli Parlimen Pekan itu berkata demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul memohon lanjutan sebulan bagi keputusan berhubung representasi yang dikemukakan.
Sedangkan Muhammad Shafee, representasi itu telah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sejak 31 Julai 2023.
“Dari segi fakta, representasi itu tidak berubah, ia dokumen yang sama dan kami tidak menerima sebarang jawapan daripada pihak AGC.
“Justeru, kami mohon anak guam diberi perintah DNAA kerana jika pendakwaan mahu meneruskan semula kes, mereka sentiasa boleh berbuat demikian,” katanya.
Bagaimanapun, Mohd Ashrof memaklumkan pihak pendakwaan belum menerima arahan lanjut berhubung permohonan DNAA itu.
“Kami tidak mempunyai arahan lanjut, namun menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan.
“Berkenaan status representasi pula, saya memohon masa lanjutan selama sebulan,” katanya.
Selepas mendengar perkara itu, Hakim, K Muniandy menetapkan 11 Jun depan untuk makluman status representasi tersebut.
Beliau turut mengarahkan pihak pendakwaan bersedia sekiranya prosiding diteruskan bagi hujahan berkaitan permohonan DNAA pada tarikh sama.
Dalam prosiding ini, Najib yang juga bekas Menteri Kewangan itu, tidak hadir ke mahkamah dan hanya diwakili peguam.
Pada 3 Februari 2019, Najib, 72, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil aktiviti haram melalui tiga akaun AmPrivate Banking miliknya di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan AmBank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Najib kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, yang dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan selepas menolak rayuan beliau.
Beliau memfailkan petisyen pengampunan Diraja pada 2 September 2022. Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Pada 1 Disember 2023, Najib memohon DNAA bagi tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC.
Muhammad Shafee membuat permohonan itu selepas dimaklumkan bahawa representasi yang dihantar kepada AGC pada 31 Julai 2023 masih belum diberi jawapan.
-Sinar Harian