MELAKA: Seorang lelaki dan wanita warga asing maut selepas kereta dinaiki mereka melanggar sebuah lori di Lebuh AMJ (Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin) Tiang Dua berhampiran sebuah kilang ayam hari ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata kejadian jam 5.30 pagi menyebabkan pemandu kereta, Abdulla Shaied, 47, lelaki warga Bangladesh dan penumpangnya Nguyen Thanh Loan, 46, wanita warga Vietnam meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kedua-dua mangsa cedera parah di kaki, badan dan muka manakala pemandu lori berusia 48 tahun tidak cedera.
“Siasatan awal mendapati lori itu dari arah Jasin menghala ke kilang ayam berhampiran lokasi kejadian manakala kereta jenis Nissan berkenaan pula dari arah Melaka menuju Jasin.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, lori itu telah membuat pusingan U memasuki laluan kereta menyebabkan pemandu kereta melanggar bahagian sisi lori,” katanya dalam kenyataan.
Siasatan menemukan kesan brek sejauh 45 meter di permukaan jalan di laluan kereta berkenaan.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata pihaknya menerima panggilan pada 5.53 pagi dan dua jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil dan BBP Merlimau digegaskan ke lokasi.
Beliau berkata sebaik tiba kira-kira 6.04 pagi, terdapat dua mangsa iaitu penumpang dan pemandu kereta tersepit di bawah lori.
“Kedua-dua mangsa dikeluarkan dari kenderaan, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang tiba di lokasi,” katanya.
-BERNAMA


