JOHOR BAHRU: Sekurang-kurangnya 16 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Johor Bahru dilapor mengalami gejala muntah-muntah, cirit-birit dan demam disyaki akibat keracunan makanan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada pihak MRSM kira-kira jam 2 petang tadi, sebelum Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru diarah mengambil tindakan lanjut.
“Seramai 16 pelajar mengalami gejala dihantar ke beberapa fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta.
“Bahagian Keselamatan Makanan, Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru sudah bergerak ke MRSM berkenaan untuk menjalankan siasatan,” katanya ketika sidang media di Majlis Perasmian JumpX di di sini, hari ini.
Menurut beliau, kejadian itu dilaporkan bermula sejak malam tadi dan sehingga petang ini, mereka yang bergejala membabitkan 16 orang.
Walaupun punca keracunan belum diketahui, katanya ia dipercayai makanan dari kantin dan sampel akan diambil pihak pejabat kesihatan.
“Pihak pejabat kesihatan akan ambil sampel-sampel makanan dari kantin dan jumpa pelajar bergejala untuk mendapatkan maklumat bagi siasatan lanjut.
“Sementara ini, kita akan nasihat supaya operasi kantin berhenti sementara untuk kerja pembersihan dahulu, sehingga mendapat persetujuan bahagian kesihatan, barulah dibenarkan untuk beroperasi semula,” katanya.
Terdahulu, tular tangkap layar hantaran seorang pengguna Facebook mendakwa terpaksa bergegas dari Melaka ke Johor Bahru selepas anaknya mengadu muntah-muntah berkemungkinan akibat keracunan makanan.
BHonline-


