SUBANG JAYA: “Menggigil seluruh badan dan air mata tidak berhenti mengalir sepanjang perjalanan pulang. Luluh hati saya apabila melihat rumah yang saya diami sejak 23 tahun lalu hanya tinggal abu.”
Demikian luahan salah seorang mangsa, Zurina Mohd Isa, 49, apabila rumahnya di Kampung Kuala Sungai Baru musnah dalam letupan paip gas, seminggu yang lalu.
Zurina berkata, ketika kejadian dia sekeluarga berada di kampung sempena cuti perayaan dan hanya dimaklumkan kejadian itu melalui panggilan telefon daripada jiran.
“Sebaik menerima panggilan, kami terus bergegas pulang kerana ingin mengetahui keadaan rumah.
“Namun, kami tidak dibenarkan untuk memasuki kawasan rumah ketika kami tiba dan saya hanya mampu melihat dari jauh dalam keadaan asap masih tebal,” katanya.
Ingin mengetahui keadaan rumah, mangsa turut meminta adiknya menunjukkan gambar rumah terlebih dahulu supaya dia dapat bersedia secara mental.
“Namun, apabila melihat dengan mata sendiri, saya benar-benar terkejut kerana semuanya musnah 100 peratus,” katanya ketika ditemui ketika tinjauan BH di Pusat Perlindungan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, hari ini.
Menurutnya, rumah yang didiami bersama suami dan anak-anak lebih dua dekad lalu itu kini diklasifikasikan sebagai ‘total loss’, dengan segala barangan termasuk perabot, dokumen penting, motosikal dan sebuah kereta musnah akibat tragedi itu.
Zurina sekeluarga kini hanya mampu reda dengan ketentuan takdir dan bersyukur kerana tiada nyawa terkorban dalam kejadian itu.
Rumahnya hanya kira-kira 50 meter dari tempat kejadian, namun kami sekelurga terselamat kerana semua balik ke kampung untuk menyambut Aidilfitri.
“Harta yang ada hanyalah satu beg pakaian, itu pun disebabkan beg itu dibawa balik kampung.
“Semua kenangan dan hasil titik peluh selama ini hangus begitu saja.
“Namun, saya tetap bersyukur kerana Allah masih pelihara nyawa kami sekeluarga,” kata ibu kepada empat orang anak itu.
Zurina berkata, mereka telah menerima bantuan awal daripada kerajaan termasuk sumbangan wang tunai serta barangan keperluan asas.
“Ramai pihak tampil menghulurkan bantuan termasuk NGO dan individu persendirian.
“Bantuan ini amat besar ertinya buat kami yang perlu memulakan hidup dari kosong,” katanya.
Menurutnya, mereka sekeluarga kini menumpang di rumah saudara sementara menunggu penempatan sementara atau mencari rumah sewa berhampiran memandangkan anak-anak masih bersekolah di kawasan itu.
BHonline-