SUNGAI PETANI – Polis sedang mengesan ibu kepada bayi perempuan yang ditinggalkan dalam beg di sebuah bangsal kayu di Taman Semarak di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan diteruskan bagi mengenal pasti individu yang terlibat dalam kes terbabit.
Menurutnya, siasatan masih diteruskan termasuk mengesan mana-mana klinik swasta yang menerima kehadiran wanita yang baharu melahirkan anak.
“Kita sedang giat mencari ibu kepada bayi terbabit termasuk mengesan kehadirannya jika hadir membuat rawatan di mana-mana klinik kerajaan dan swasta,” katanya.
Pada masa sama, Wan Azharuddin berkata, siasatan turut dilakukan di kawasan sekitar lokasi penemuan bayi terbabit.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan penemuan seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat disyaki baharu dilahirkan di dalam beg di sebuah bangsal kayu dekat Taman Semarak.
Kejadian disedari kira-kira jam 11 pagi Ahad setelah seorang penduduk terdengar suara sayup seperti tangisan di hadapan rumahnya.
Bagaimanapun, setelah diperiksa, tangisan itu datangnya dari seorang bayi perempuan yang ditinggalkan dalam beg berzip tanpa sebarang pakaian.
Bayi tersebut telah dibawa kakitangan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) menggunakan ambulans untuk pemeriksaan lanjut selain dibantu anggota Polis Diraja Malaysia.
SinarHarian-