Shah Alam: Mahkamah Tinggi di sini hari ini, menolak permohonan ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin untuk membatalkan pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik itu.
Hakim Roszianayati Ahmad memutuskan demikian selepas mendapati pertuduhan dihadapi Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, tidak cacat dan memenuhi intipati kesalahan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Mahkamah telah meneliti notis usul difailkan dan memutuskan menolak permohonan ini, mahkamah mendapati tiada kecacatan dalam pertuduhan dan ia memenuhi intipati kesalahan.
“Ini adalah kehendak undang-undang bagi membolehkan pemohon-pemohon (Zaim Ikhwan dan Ismanira) mendapat notis yang mencukupi untuk menjawab pertuduhan dan menyediakan pembelaan mereka,” katanya.
Susulan itu, perbicaraan kes berkenaan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya akan berlangsung seperti yang dijadualkan pada 11 Mac ini.
Ketika membaca keputusan ringkas, Roszianayati berkata, pertuduhan itu menyatakan sebagai pemohon yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak (Zayn Rayyan) telah mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
“Mahkamah mendapati pertuduhan yang ‘didraf’ telah memberikan masa yang cukup kepada pemohon yang dikatakan telah mengabaikan kanak-kanak itu, ini menepati Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Pendakwaan mempunyai beban untuk membuktikan cara bagaimana pengabaian itu dilakukan iaitu melalui keterangan yang akan dikemukakan, dan beban membuktikan pengabaian itu mestilah sesuatu yang mungkin akan menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak itu, justeru saya menolak permohonan ini,” katanya.
Sementara itu, peguam Lavanesh Haresh yang mewakili pasangan suami isteri itu berkata, pasukan pembelaan akan berbincang terlebih dahulu dengan anak guamnya selain mendapatkan arahan seterusnya sama ada perlu memfailkan rayuan bagi permohonan sama di Mahkamah Rayuan.
Pada 25 Februari lalu, mahkamah sama selesai mendengar hujah kedua-dua pihak dengan pendakwaan memberitahu notis usul yang difailkan Zaim Ikhwan dan Ismanira untuk membatalkan pertuduhan sekaligus dibebaskan adalah tidak berasas dan tidak bermerit.
Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin berkata, hujahan pihak pembelaan bahawa pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka adalah kabur, cacat dan tidak menyatakan cara kesalahan dilakukan juga tidak bermerit.
Ini kerana beliau berkata, perkara yang perlu dibuktikan oleh pendakwaan ialah menyentuh elemen-elemen kesalahan yang ada dalam pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Pada 3 Februari lalu, Dr Syahliza memutuskan pertuduhan pengabaian dihadapi ibu bapa kanak-kanak autistik itu tidak cacat dan mengikut undang-undang diperuntukkan.
Dr Syahliza membuat keputusan itu selepas menolak bantahan awal dikemukakan pihak pembelaan mengenai pertuduhan dihadapi pasangan suami isteri itu adalah cacat kerana tidak memperincikan kesalahan dilakukan.
Pada 13 Jun tahun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira mengaku tidak bersalah mengabaikan anak mereka.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
HarianMetro-