KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memandang serius insiden provokasi yang mengakibatkan kecederaan terhadap dua anggota penguat kuasanya ketika menjalankan tugas pemantauan di Bazar Ramadan dan Aidilfitri.
DBKL dalam satu kenyataan menegaskan bahawa peluang berniaga di bazar telah dibuka secara adil kepada semua yang berminat dan memenuhi syarat.
“Kadar sewaan tapak juga ditawarkan pada harga berpatutan bagi memastikan peniaga boleh beroperasi secara sah dan dalam suasana yang teratur.
“Langkah penguatkuasaan ini diambil bagi melindungi hak penjaja berlesen serta kesejahteraan warga kota,” ujar pihak berkuasa tempatan itu dalam kenyataan itu pada Khamis.
Terdahulu, dalam dua kejadian berasingan pada Rabu, dua anggota DBKL diserang oleh penjaja tanpa lesen ketika mereka melaksanakan tindakan penguatkuasaan di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Jalan Benteng.
Menurut DBKL, sebelum sebarang tindakan diambil, penjaja tanpa lesen akan diberikan teguran dan notis.
“Penguatkuasaan hanya dilakukan terhadap mereka yang mengingkari arahan dan terus beroperasi secara tidak sah.
“Bagaimanapun, terdapat segelintir individu yang bertindak memprovokasi dan bertindak agresif terhadap petugas DBKL, menyebabkan kecederaan dalam kejadian terbaru ini.
“Berikutan itu, dua laporan polis telah dibuat dan pelaku telah diserahkan kepada pihak berkuasa,” ujarnya lagi.
DBKL turut menegaskan bahawa mereka tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan agresif ke atas petugas yang menjalankan amanah demi kepentingan masyarakat.
“Penguatkuasaan akan terus dijalankan secara adil dan tegas bagi memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai sebuah bandar yang tersusun, bersih, dan selamat untuk semua,” tambahnya.
SinarHarian-