SEMPORNA: Bayi lelaki berbungkus kain yang masih bertali pusat ditemui di tepi jalan Kampung Keramat dekat sini, tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Semporna Superintenden Mohd Sobri Zainol berkata, pihaknya menerima makluman daripada orang awam berhubung penemuan bayi lelaki itu pada jam 1 tengah hari.
“Bayi lelaki seberat 3.1 kilogram itu kemudiannya dibawa ke Hospital Semporna untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Melalui pemeriksaan oleh doktor yang merawat bayi terbabit dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan kini ditempatkan di hospital itu untuk pemantauan lanjut,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Mohd Sobri berkata, pihaknya kini giat mengesan individu yang terlibat dalam kes terbabit yang disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.
“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penemuan bayi itu supaya menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna di talian 089-782020 atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Mohammad Hafizudin Akram Ghafar Ismail di talian 013-7557293.
BHonline-