GEORGETOWN : Suasana hiba menyelubungi perkarangan Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, apabila Mohamad Fakhruddin Mohamad Fikri, 35, hadir bagi urusan bedah siasat anak sulungnya Mohamad Fahmi Hafiz, yang meninggal dunia akibat tercekik gula-gula kenyal.
Mohamad Fahmi Hafiz, 10, meninggal dunia kira-kira jam 11 malam tadi selepas kritikal sejak dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP.
Hadir sama ialah ibu mangsa Nuraini Mohamad Isa, 37 dan anak bongsu pasangan itu, Nufa Fakhira, 4; dan ahli keluarga yang turut hiba dengan kejadian menimpa kanak-kanak itu.
Ibu saudara mangsa, Siti Farhanim Mohamad Fikri, 33, ketika ditemui, berkata urusan pengebumian jenazah anak saudaranya itu dijangka disempurnakan tengah hari ini di Permatang Binjai, Penaga.
Sebelum ini, media melaporkan kanak-kanak lelaki itu berada dalam kritikal dipercayai akibat tercekik gula-gula kenyal yang dibeli di luar kawasan Kelas-Quran dan Fardhu ‘Ain (KAFA), Sungai Dua, Butterworth.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa dikatakan rebah ketika hendak ke tandas sebelum gurunya menghubungi pasukan perubatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian yang dibuat guru lelaki berkenaan.
Katanya, ketika pegawai kesihatan tiba, mereka berjaya mengeluarkan gula-gula berkenaan daripada mulut kanak-kanak terbabit tetapi mangsa masih tidak sedarkan diri.
-Berita Harian
