KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menyediakan Kertas Putih industri padi dan beras negara bagi mengatasi pelbagai isu berkaitan harga serta bekalan makanan ruji rakyat secara menyeluruh.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) mendakwa, terdapat pihak akan terus mengaut keuntungan berbilion ringgit dengan memanipulasikan harga bekalan beras tempatan yang dicampurkan dengan beras import sekiranya tiada tindakan dibuat.
Menurutnya, masalah yang wujud berhubung ‘kehilangan’ bekalan Beras Putih Tempatan dalam pasaran juga tidak mampu diselesaikan dalam tempoh berkala susulan pengumuman pelarasan harga belian lantai padi kepada RM1,500 setiap tan metrik.
“Saya bertemu dengan pengusaha beras yang agak terbesar di Malaysia, saya terkejut apabila beliau beritahu situasi yang berlaku beras campuran antara beras tempatan dengan beras import dan ditakrif sebagai beras import kemudian diletakkan harga jauh lebih tinggi.
“Ini satu amalan yang bukan sahaja tidak sihat tapi penipuan. Saya jangka sejumlah orang terlibat dalam industri telah mengaut keuntungan berbilion ringgit.
“Menteri kata enam bulan, lepas tu enam bulan…mana boleh selesai kalau dibuat begitu…saya nak cadangkan supaya kerajaan pertimbang untuk menyediakan satu kertas putih untuk industri padi dan beras negara…ini mengambil masa sedikit (untuk penyelesaian) yang menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Khamis.
Kerajaan bersetuju menaikkan harga belian lantai padi sebanyak RM200 daripada RM1,300 kepada RM1,500 setiap tan metrik berkuat kuasa Ahad ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu juga mengumumkan, kerajaan akan mengekalkan harga beras putih tempatan pada RM2.60 sekilogram (kg) atau RM26 sekampit 10kg, dengan menyerap sebahagian kos pengeluaran sekitar RM150 juta untuk tempoh enam bulan.
Selepas tempoh itu, kerajaan juga bersedia menyelaraskan semula harga belian lantai padi dan Beras Putih Tempatan mengambil kira maklum balas pihak berkepentingan.
Muhyiddin menambah, isu industri padi dan beras negara bukan perkara mudah kerana melibatkan lebih 200,000 petani serta jutaan kawasan yang boleh diusahakan.
Namun katanya, agak malang kerana dasar pengeluaran hasil padi iaitu 70 peratus pengeluaran tempatan dan 30 peratus import seperti tidak dapat dipenuhi.
“Malah sekarang, status 70 peratus pun saya difahamkan mengecut kepada 65 peratus dan kekurangan itu ditampung dengan bebas yang diimport dari luar negara,” katanya.
-Sinar Harian