GEORGE TOWN – [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki dan rakan wanitanya parah selepas motosikal yang dinaiki mereka secara melawan arus telah melanggar sebuah kereta di susur masuk Jambatan Pulau Pinang dalam kejadian pada jam 2 pagi Selasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, akibat daripada pelanggaran tersebut, penunggang motosikal terjatuh ke jalan raya manakala rakan wanita yang juga pembonceng terjatuh ke bawah jambatan dengan ketinggian 8 meter.
Menurutnya, lelaki berusia 23 tahun dan rakan wanitanya berusia 25 tahun kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) manakala pemandu kereta yang berusia 32 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pihak kami menerima laporan pada jam 12.25 petang tadi berhubung kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta dan sebuah motosikal di susur masuk Jambatan Pulau Pinang dari Batu Uban menghala ke Perai.
“Hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan dipercayai motosikal terbabit ditunggang secara melawan arus dan melanggar hadapan, kanan serta belakang sebuah kereta,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau menambah, sebelum kejadian, mangsa iaitu lelaki warga tempatan menunggang motosikal dari arah George Town menghala ke Queensbay untuk menghantar rakan wanitanya pulang ke rumahnya.
“Bagaimanapun, lelaki tersebut telah tersilap jalan dan terus memasuki Jambatan Pulau Pinang.
“Apabila menyedari tersilap jalan, dia dipercayai membuat pusingan U atas jambatan dan menunggang secara melawan arus ke arah Batu Uban lalu terlanggar sebuah kereta di tempat kejadian.
“Akibat daripada kemalangan tersebut, pembonceng motosikal iaitu wanita tempatan itu terjatuh ke bawah jambatan, manakala penunggang motosikal terjatuh di atas jalan raya,” katanya.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebelum ini, tular klip video berdurasi 14 saat memaparkan kemalangan jalan raya di susur masuk Jambatan Pulau Pinang melibatkan sebuah motosikal dan kereta.
Dalam video tersebut, dilihat orang ramai mengerumuni kedua-dua mangsa yang mana, mangsa wanita ditemui di bawah jambatan dipercayai terjatuh akibat pelanggaran dengan kereta berkenaan manakala rakan lelakinya di atas jambatan.
Kedua-duanya dalam keadaan parah dan dipercayai dibawa ke HPP menggunakan ambulans.
SinarHarian-