REMBAU – Seorang isteri yang menunggu pesanan mesej daripada suaminya sehingga tertidur berakhir apabila dimaklumkan suaminya itu maut dalam nahas pada tengah malam, Rabu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Mangsa, Muhammad Taqiyyuddin Zulkifli, 35, parah di kepala selepas motosikal ditunggangnya terlanggar tayar ganti sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang terlibat dalam kemalangan di kilometer 232.1 Utara- Selatan (PLUS) arah utara, di sini.
Isterinya, Nur Izzaty Abd Jalil, 35 berkata, suaminya dalam perjalanan pulang ke Johor susulan akan memulakan kerjanya semula di Singapura selepas bercuti lama sempena Tahun Baharu Cina.
“Arwah dari rumah kami di Rawang, Selangor dan bergerak pulang ke Johor dalam jam 10.30 malam Selasa. Selalunya dia ambil masa dalam dua jam setengah untuk sampai sana.
“Tapi dalam jam 2 pagi macam itu saya tunggu dia mesej, tidak ada. Jadi saya mesej tanya… abang dah sampai ke, tetapi tidak berjawab. Sementara menunggu itu sampai saya tertidur,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Rembau pada Rabu.
Ujar suri rumah itu, kira-kira jam 5 pagi bapa mentuanya datang ke rumahnya memaklumkan suaminya terlibat kemalangan.
“Sebelum kejadian kami berkesempatan bercuti bersama sampai arwah tambah cuti dua hari iaitu Isnin dan Selasa yang mana sepatutnya dia pulang ke Johor pada hari Ahad.
“Tak tahulah, saya memang nampak dia sugul macam tak nak balik,” katanya yang arwah akan pulang setiap minggu ke Rawang.
Allahyarham bekerja di Singapura sejak 2016 sebelum pulang ke negara ini susulan wabak Covid-19 dan bekerja semula di Kota Singa itu pada 2022 sehingga kini.
Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Buaya, Rawang Selangor selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Rembau.
Kemalangan pada jam 12.20 malam itu melibatkan sebuah motosikal jenis Honda CBR ditunggang mangsa, bas, lori muatan habuk kayu mampat, Toyota Hilux dan sebuah kereta BMW.
Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Singapura menghala ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Sungai Besi, Kuala Lumpur sebelum bas itu melanggar bahagian belakang lori yang berada di lorong kiri.
Katanya, keadaan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan hilang kawalan lalu terbabas ke lorong kanan, Toyota Hilux dan kereta BMW yang berada di belakang laluan sama iaitu lorong kanan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang bas tersebut.
“Selepas perlanggaran tersebut, tayar ganti Toyota Hilux telah tercampak ke laluan bertentangan dan dilanggar oleh motosikal mangsa yang sedang bergerak di lorong kecemasan,” katanya.
SinarHarian-