KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus besar anak syarikat Koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengaku tidak bersalah di dua mahkamah berasingan di sini, hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah dan menipu wang syarikat berjumlah RM145,000, dua tahun lalu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Di Mahkamah Sesyen, Ahmad Fazreen Kamarudin, 36, yang ketika itu adalah pengurus besar syarikat KOP Tradtech Sdn Bhd, didakwa melakukan pecah amanah membabitkan wang syarikat berjumlah RM70,000 bagi kegunaan sendiri.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di syarikat berkenaan yang terletak di Bangunan Koperasi Polis, Dang Wangi, di sini antara 28 Jun hingga 3 Julai 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan maksimum 14 tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, R Harvind, mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali sebulan.
Bagaimanapun, peguam Mohammad Asghar Nadjmi yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak bekerja dan menanggung keluarga.
Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 12 Mac ini untuk sebutan kes.
Di Mahkamah Majistret, Ahmad Fazreen didakwa menipu syarikat KOP Logistic & Distribution Sdn Bhd, untuk mendapatkan wang secara salah daripada syarikat berkenaan dengan merancang projek pembekalan daging sejuk beku yang tidak wujud berjumlah RM75,008.
Kesalahan didakwa dilakukan di syarikat KOP Logistic, Bangunan Koperasi Polis, Dang Wangi, di sini pada 29 Mac 2023.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan, serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Vivi’ Asnita Zaina’ Larifin mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, manakala peguam Mohammad Asghar memohon jumlah jaminan yang lebih rendah.
Majistret M S Arunjothy membenarkan Ahmad Fazreen diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sama untuk sebutan kes.
Bernama-