SHAH ALAM : Penggunaan bas elektrik (EV) bagi program Bas Smart Selangor laluan dari Seksyen 19 ke Seksyen 7, dekat sini sejak Disember tahun lalu berjaya mengurangkan kira-kira 700 kilogram (kg) karbon dioksida sehari.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata justeru penggunaan bas berkenaan akan diperluas terutama sekitar kawasan Lembah Klang Raya Selangor (SGKV) memandangkan ia memberikan kesan baik kepada alam sekitar selain menjimatkan kos.
Katanya, penggunaan bas EV dilaksanakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang mana ia beroperasi mulai jam 6 pagi hingga 10 malam, dengan kekerapan laluan setiap 30 minit manakala 15 minit ketika waktu puncak.
“MBSA memilih laluan ini (Seksyen 19 ke Seksyen 7) kerana agak popular dan mendapat permintaan tinggi dengan 43,000 penumpang sebulan.
“MBSA memperuntuk hampir RM5.6 juta untuk tempoh tiga tahun bagi menjayakan khidmat ini,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan bas elektrik bagi program SMART Selangor di Hentian Bas Seksyen 19, di sini hari ini.
Selain MBSA, Majlis Bandaraya Petaling Jaya juga sudah menggunakan dua bas EV pada tahun lalu sebagai projek rintis ke arah menjadikan Petaling Jaya bandar bebas karbon menjelang 2030.
Penggunaan bas elektrik bagi menggantikan bas konvensional adalah salah satu inisiatif kerajaan negeri bagi mempercepat peralihan tenaga di Selangor bagi menyokong agenda pelepasan karbon sifar bersih.
Sejak 2015, kerajaan negeri memperkenalkan program Bas Smart Selangor dan dilaksanakan secara konsisten di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) merangkumi keseluruhan 60 laluan dan pengoperasian 164 bas.
Sehingga 2024, kerajaan memperuntukkan RM181.57 juta bagi pengoperasian Program Bas Smart Selangor dan pada tahun ini, peruntukan keseluruhan Selangor Mobility adalah berjumlah RM20 juta yang mana RM11.49 juta diperuntukkan untuk kesinambungan Program Bas Smart Selangor.
-Berita Harian