KUALA LUMPUR: Pemerkasaan strategi pembanterasan jenayah penyeludupan migran menjadi agenda utama yang dibincangkan pada mesyuarat kali pertama Pegawai Kanan ASEAN Kumpulan Kerja Jenayah Rentas Sempadan mengenai Penyeludupan Migran.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Setiausaha Bahagian, Pejabat Strategik Nasional (NSO), Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Dr Azalia Mohamed, di Georgetown, semalam.
Seramai 30 delegasi negara anggota ASEAN, negara pemerhati Timor-Leste, serta 16 delegasi Malaysia sebulat suara bersetuju untuk memberi penekanan terhadap pengukuhan National Focal Point (NFP) bagi menentang penyeludupan, sekali gus mengesahkan dokumen Deklarasi ASEAN semasa Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC).
Menurut kenyataan KDN hari ini, mesyuarat itu memberi tumpuan kepada pengemaskinian dasar dan polisi berkaitan penyeludupan migran serta senarai NFP untuk menangani penyeludupan migran, selain memperhalusi dokumen Deklarasi ASEAN mengenai penyeludupan migran.
“Mesyuarat ini turut membincangkan beberapa isu utama berkaitan penyeludupan migran di peringkat ASEAN, termasuk dari aspek dasar dan polisi negara, serta berkongsi amalan terbaik dalam kalangan negara anggota dan negara pemerhati.
“Sebagai hasil perbincangan utama, mesyuarat juga bersetuju secara kolektif untuk mengemaskini senarai NFP membanteras penyeludupan orang secara berkala.
“Selain itu, mesyuarat turut memperhalusi dokumen utama ASEAN seperti ASEAN Declaration on Countering People Smuggling and Irregular Migration in Southeast Asia bagi tujuan pengesahan semasa Mesyuarat AMMTC ke-19 di Malaysia pada September 2025,” katanya.
Delegasi yang hadir juga diberikan taklimat ringkas daripada Australian Mission to ASEAN mengenai peluang kerjasama peringkat ASEAN dengan Australia.
Malaysia telah menggubal undang-undang khusus, iaitu Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang mula berkuat kuasa pada 2008.
Selaras dengan penggubalan Akta ATIPSOM, kerajaan menubuhkan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran bagi menyelaraskan pelaksanaan akta tersebut.
MAPO juga berperanan merumuskan dasar dan program untuk mencegah serta memerangi jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di Malaysia.
BHonline-