KUALA LUMPUR – Permohonan lelaki warga Israel, Avitan Shalom untuk menggantung perbicaraan dua pertuduhan memiliki 200 butir peluru dan memperdagangkan enam senjata api yang dihadapinya, akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini pada 28 Februari depan.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Hakim, K Muniandy menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pembelaan yang mewakili Avitan, 39, dan pendakwaan selaku responden.
Ketika memutuskan demikian, hakim berkata, pengurusan kes bagi permohonan berkenaan akan dijalankan pada 20 Januari.
“Responden perlu memfailkan afidavit jawapan sebelum 28 Januari dan jika ada afidavit balasan daripada pihak pembelaan, mereka perlu memfailkannya pada atau sebelum 10 Februari ini,” katanya.
Minggu lalu, perbicaraan kes di Mahkamah Sesyen di sini ditangguhkan buat kali ketiga, kerana terdapat pertikaian daripada pihak pembelaan berhubung jurubahasa Ibrani atau Hebrew.
Sebelum ini mahkamah menetapkan perbicaraan kes berlangsung selama 12 hari dengan tarikh-tarikh perbicaraan ialah 6 hingga 9, 13 hingga 16 serta 20 hingga 23 yang mana kesemua tarikh itu pada bulan Januari 2025.
Seramai 30 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan dalam kes itu.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Avitan didakwa memiliki 42 peluru di dalam tiga senjata berlainan, sekotak Shell Shock NAS3 9mm (lapan peluru) dan tiga kotak Bullet Master Co Ltd (150 peluru) tanpa lesen atau permit senjata.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9×19, Sig Sauer P3205P, Cougar 8000FT, Glock 17 Gen4 Austria 9×19, M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA dan Stoeger Cougar 8000F.
Dia didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini antara jam 6.46 petang 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac 2024.
-Sinar Harian