PUTRAJAYA : Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan tindakan Kementerian Pendidikan (KPM) memindahkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang terjejas akibat banjir di asrama sementara yang disifatkan sebagai langkah tepat.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Perdana Menteri menegaskan ia bukan langkah baharu diambil kerajaan sekarang memandang sejak pentadbiran sebelum ini juga pernah melaksanakan pendekatan sedemikian.
Dengan menempatkan pelajar terjejas banjir di asrama sementara, beliau berkata ia bukan langkah yang boleh menjejaskan prestasi pelajar berkenaan sebaliknya ia dapat membantu mereka menumpukan pelajaran ketika menghadapi peperiksaan.
“Untuk mangsa khususnya di kawasan pedalaman dari segmen miskin, sokongan tambahan amat bermakna kepada mereka. Jadi untuk keputusan KPM meneruskan peperiksaan (SPM), pembangkang cuba untuk eksploitasi isu berkenaan.
“Tetapi untuk pengetahuan anda kita berdepan dengan isu (ini) untuk tempoh berdekad dan kita tidak pernah menangguhkan peperiksaan. Kita mesti bersyukur dan berterima kasih kepada semua jentera termasuk polis, tentera, bomba, APM (Angkatan Pertahanan Malaysia) dan lain-lain yang terlibat (dengan pemindahan pelajar terjejas).
“Saya berada di Terengganu dan (sempat) bertanya berapa yang sudah dihubungi. Mereka beri jaminan sekurang-kurangnya 99.0 peratus akan hadir peperiksaan dan mereka semua diletakkan di asrama sementara.
“Menariknya berdasarkan rekod sebelum ini, dalam kalangan mereka (pelajar berkenaan) memperoleh keputusan (peperiksaan) yang lebih baik dan (apabila mereka ditempatkan di asrama) dijamin mereka akan belajar setiap hari.
“Di asrama berkenaan ada guru akan datang dan mereka diberikan kerja rumah termasuk (mereka ditemani) rakan-rakan yang komited dan serius dalam mengulangkaji pelajaran. Kebiasaannya untuk beberapa tahun sebelum ini, mereka yang dibawa ke asrama memperoleh keputusan yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pengumpulan Dana Ihsan MADANI untuk mangsa banjir di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus
Meskipun ada dalam kalangan pelajar berkenaan yang ditempatkan di asrama kerana terjejas banjir memperoleh keputusan lebih baik, Perdana Menteri berkata ia tidak bermaksud bencana itu perlu berlaku setiap tahun.
Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa setiap tindakan dan idea yang dilaksanakan itu ada manfaat untuk pelajar berkenaan.
“Saya hanya mengatakan idea (langkah memindahkan calon dan tidak menangguhkan SPM) ini tidaklah buruk. Tetapi sudah tentu, buku dan pen rosak yang menjadi isu besar dibangkitkan pembangkang.
“Tetapi saya ingin mengingatkan mereka (pembangkang) bahawa ini adalah peperiksaan lisan (ujian bertutur)… anda tidak perlukan buku dan pen seperti apa yang pembangkang katakan. Lisan bermaksud lisanlah,” katanya.
-Berita Harian