Kuala Lumpur : Keberadaan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low terus menjadi tanda tanya apabila lelaki itu didakwa berada dalam perlindungan pemerintah Junta di Myanmar.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini pihak berkuasa Myanmar tidak memberi makluman berkaitan keberadaan Jho Low di negara itu.
Menurutnya, sebagai sebahagian ahli Polis Asean (Aseanapol) Myanmar akan berkongsi sebarang maklumat berkaitan bersama Malaysia.
“Kita ada Polis Antarabangsa (Interpol), Aseanapol, dan baru-baru ini saya baru habis perhimpunan Interpol di Glasgow, Scotland selama du minggu, apa-apa maklumat yang ada kita akan kongsi.
“Jadi tindakan dan maklumat yang ada kita akan beri dan bantu Myanmar dan apa juga yang kita minta dari pihak Myanmar mereka akan bantu kerana mereka juga dalam Aseanapol,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur,di sini, tadi.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perbarisan Tamat Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Inspektor Pelatih, Sarjan Pelatih dan Konstabel Pelatih Pulapol Kuala Lumpur, Segamat, Dungun, dan Bukit Sentosa yang diadakan serentak di sini.
Terdahulu media melaporkan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa Jho Low mungkin bersembunyi di Myanmar dan dilindungi oleh junta tentera negara itu.
-Harian Metro