PELABUHAN KLANG: Kapal pengangkut pesawat kelas Nimitz USS Abraham Lincoln (CVN 72) tiba di perairan Malaysia Sabtu lalu, menandakan kunjungan bersejarah ke Pelabuhan Klang selepas 12 tahun.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Menurut kenyataan Abraham Lincoln Carrier Strike Group Public Affairs, lawatan itu adalah yang pertama bagi sebuah kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia sejak 2012, menyerlahkan kesinambungan perkongsian yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara, yang berakar umbi dalam hubungan rapat rakyat dengan rakyat, ekonomi dan keselamatan.
Kapal Abraham Lincoln tiba di Pelabuhan Klang pada pagi Sabtu untuk persinggahan kedua dalam pelayaran operasinya bagi 2024.
Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D Kagan, berkata kunjungan itu mengesahkan kepentingan Malaysia kepada AS.
“Lawatan ini menekankan komitmen bersama terhadap kestabilan serantau dan kedaulatan Malaysia, sekali gus menyediakan peluang kerjasama erat antara tentera laut kedua-dua negara dan pemimpin utama,” katanya dalam kenyataan.
Semasa berlabuh, USS Abraham Lincoln turut menerima lawatan dari tetamu kehormat Malaysia, termasuk pegawai dan media, yang diberi peluang untuk melihat operasi penerbangan dan berinteraksi dengan anggota Tentera Laut AS.
Ketika berada di pelabuhan, Abraham Lincoln akan menjadi tuan rumah kepada pemimpin Malaysia untuk lawatan eksklusif, memperkukuh hubungan dua hala.
“Lawatan ke Kuala Lumpur sangat penting bagi Tentera Laut AS. Ini kali pertama kapal pengangkut pesawat melawat Malaysia dalam tempoh 12 tahun.
“Saya amat menghargai peluang untuk mengukuhkan perkongsian AS dan Malaysia sambil memberi peluang kepada anggota Tentera Laut dan Marin kami untuk merasai pengalaman bandar raya Kuala Lumpur yang menakjubkan,” kata Laksamana Muda Adan Cruz, Komander Carrier Strike Group (CSG) 3.
Lebih 4,200 anggota Tentera Laut dan Marin yang berkhidmat di atas Abraham Lincoln dijangka menikmati keindahan budaya dan sejarah Malaysia. Mereka turut dijadual menyertai lawatan tempatan dan menjalankan projek perhubungan komuniti (COMREL) iaitu anggota tentera itu akan menjadi sukarelawan di dapur komuniti, rumah orang tua dan rumah kanak-kanak.
Pegawai Memerintah USS Abraham Lincoln (CVN 72), Kapten Pete Riebe, turut melahirkan keterujaan untuk meneroka budaya, sejarah Malaysia dan berinteraksi dengan kumpulan komuniti tempatan serta pemimpin kerajaan.
“Bagi pihak kru Abraham Lincoln, saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Port Klang dan Kuala Lumpur atas sambutan hangat dan mesra,” katanya.
Kumpulan Penyerang Kapal Pengangkut Abraham Lincoln merangkumi USS Abraham Lincoln (CVN 72), kakitangan CSG 3 dan Skuadron Pemusnah (DESRON) 21, Sayap Udara Pengangkut 9 (CVW-9), kapal pemusnah peluru berpandu kelas Arleigh Burke seperti USS Frank E. Petersen Jr. (DDG 121), USS Spruance (DDG 111) dan USS Michael Murphy (DDG 112).
Selain itu, USS Frank E. Petersen Jr. melakukan persinggahan di Singapura, sementara USS Spruance dan USS Michael Murphy berlabuh di Thailand, menunjukkan fleksibiliti yang wujud dalam kumpulan serangan kapal pengangkut itu.
Kapal pemusnah peluru berpandu kelas Arleigh Burke USS O’Kane (DDG 77) dan USS Stockdale (DDG 106) kekal dikerahkan di kawasan operasi Armada Ke-5 yang menyokong operasi keselamatan maritim global.
CVW-9 terdiri sembilan skuadron pesawat yang mewakili lebih 70 pesawat di atas Abraham Lincoln: dua skuadron helikopter yang mengendalikan MH-60R & MH-60S Seahawk; tiga skuadron F/A-18E/F Super Hornet; satu skuadron EA-18G Growler; satu skuadron F-35C Lightning II Kor Marin AS; Skuadron amaran awal bawaan udara Hawkeye E-2D dan C-2 Greyhound untuk logistik kapal induk.
Kumpulan Penyerang Kapal Pengangkut Abraham Lincoln kini sedang menjalankan operasi rutin di kawasan operasi Armada Ke-7 AS. Armada Ke-7 AS adalah armada bernombor yang dikerahkan ke hadapan terbesar milik Tentera Laut AS dan kerap berinteraksi serta bekerjasama dengan sekutu dan rakan kongsi bagi mengekalkan kawasan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka.
Sementara itu, Tentera Laut Diraja Malaysia menerusi satu hantaran di Facebook berkata Abraham Lincoln yang tiba di Port Klang Cruise Terminal disambut Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Pembangunan dan Kontigensi, Laksamana Pertama Mohd Adzam Omar bersama delegasi Markas Tentera Laut dan Pusat Hidrografi Nasional.
Hadir sama Penasihat Pertahanan AS di Malaysia, Kapten Pasit Somboonpakron.
Abraham Lincoln akan berada di Malaysia sehingga 27 November.
BHonline-