CHERAS : Kerajaan melalui PETRONAS NGV Sdn Bhd (PNGV) memperkenalkan program bantuan peralihan kenderaan gas asli (NGV) bagi membantu peralihan pemilik kenderaan NGV kepada bahan api lain.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata bantuan itu adalah untuk kumpulan sasar yang terjejas membabitkan pemandu kenderaan teksi NGV, pemilik kenderaan bahan api tunggal dan juga dwi bahan api NGV.
Beliau berkata, program bantuan peralihan itu terdiri daripada tiga pakej iaitu yang pertama pakej bantuan peralihan kepada pemandu teksi NGV yang layak.
Bagi setiap pemandu berdaftar yang layak, katanya, bantuan dalam bentuk e-baucar sebanyak RM3,000 akan diberikan melalui aplikasi Setel secara ‘one-off’.
“Syarat kelayakan utama adalah pemandu teksi NGV yang mempunyai Kad Pemandu dan Permit Kenderaan yang sah dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan aktif untuk tempoh mulai 1 Januari 2024 sehingga 30 September 2024.
“Namun, bagi mengelakkan perkara ini diambil kesempatan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab, individu yang mendaftar sebagai pemandu teksi NGV selepas 30 September
2024 tidak akan layak untuk menerima pakej ini.
“Pemohon yang berjaya akan mendapat pakej bantuan secara ‘one-off’ ini dalam tempoh 15 ke 30 hari bekerja,” katanya pada sidang media khas NGV di sini hari ini.
Loke berkata, turut disediakan program bantuan menanggalkan kit NGV terutama tangki daripada kenderaan yang diubah suai (dwi-bahan api), termasuk teksi NGV.
Beliau berkata, semua kos akan ditanggung sepenuhnya dan hanya boleh dilaksanakan di bengkel yang berdaftar dengan syarat kelayakan utama kenderaan jenis dwi-bahan api yang didaftarkan dengan JPJ dan aktif untuk tempoh 1 Oktober 2021 sehingga 30 September 2024.
“Program ketiga pula bantuan peralihan bagi kenderaan bahan api tunggal NGV menawarkan pembayaran secara ‘one-off’ kepada pemilik kenderaan yang layak berdasarkan nilai semasa kenderaan yang akan ditentukan oleh wakil penilai bebas.
“Pemilik kenderaan yang menerima tawaran itu perlu menghantar kenderaan mereka ke Authorised Automotive Treatment Facility (AATF) berlesen untuk dilupuskan dan membatalkan pendaftaran kenderaan dengan pihak JPJ.
“Ketetapan ini bagi mengelakkan salah guna dan ubah suai haram yang akan lebih membahayakan semua pihak kelak.
“Pembayaran pakej bantuan ini akan dilakukan dalam tempoh tiga hingga tujuh hari bekerja selepas penyerahan Certificate of Destruction (COD) dan slip pembatalan pendaftaran kenderaan (borang K1d) dibuat oleh wakil AATF,” katanya.
-Berita Harian