KOTA KINABALU : Kabinet Sabah hari ini bersetuju untuk melaksanakan pelarasan gaji perkhidmatan awam negeri selaras dengan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diperkenalkan kerajaan Persekutuan.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pelarasan itu akan dilaksanakan dalam dua fasa bermula pada 1 Disember ini, manakala kedua 1 Januari 2025.
Katanya, pelarasan berkenaan membabitkan seramai 21,228 penjawat awam negeri dan 2,116 pekerja sambilan harian dengan jumlah keseluruhan peruntukan lebih RM149 juta.
“Pelarasan gaji kepada seramai 21,228 penjawat awam negeri akan dilaksanakan pada 1 Disember 2024 bagi fasa pertama dan 1 Januari 2025 bagi fasa kedua dengan melibatkan peruntukan keseluruhan RM103,020,059.66.
“Kabinet negeri juga bersetuju untuk menyelaraskan kadar gaji pekerja sambilan harian negeri kepada minimum RM1,725 sebulan serta penambahbaikan faedah sedia ada mulai 1 Disember depan.
“Pelarasan gaji untuk 2,116 pekerja sambilan harian akan membabitkan kos sebanyak RM46,096,140. Jumlah keseluruhan peruntukan bagi penyelarasan gaji perkhidmatan awam negeri dan pekerja sambilan harian ialah RM149,116,199.66,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Pada 16 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan SSPA sebagai sistem saraan baharu perkhidmatan awam Persekutuan bagi menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) yang dilaksanakan ketika ini.
Hajiji menyifatkan pelarasan gaji itu sebagai manifestasi pengiktirafan kerajaan negeri terhadap sumbangan kakitangan perkhidmatan awam negeri dan pekerja sambilan harian kepada agenda pembangunan negeri.
Katanya, ia juga bagi membantu meringankan kos sara hidup harian penjawat awam negeri yang semakin meningkat.
-Berita Harian


