Seremban: Seorang pesara yang juga pengikut ajaran ‘The Ahmadi Religion of Light and Peace’, dipenjara enam bulan dan didenda RM4,500 oleh Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mengajar ajaran salah, dua minggu lalu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Tertuduh, Zolekafeli Abd Ghani, 60, dijatuhi hukuman itu selepas faham sebab dan akibat sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah Zulfikri Yasoa.
Menurut pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh didapati mengajar ajaran salah kepada anak lelakinya berusia 30 tahun.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh melakukan kesalahan sama dengan menyatakan antaranya perkahwinan antara adik-beradik dibenarkan dengan syarat perkahwinan biologi sahaja, bukannya secara roh.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Ampangan, di sini, antara jam 2 petang hingga jam 4.40 petang, 12 Oktober lalu.
Tertuduh dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 pindaan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama.
Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Tertuduh yang memaklumkan berdepan masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi selain jantung memohon mahkamah menjatuhi hukuman ringan dengan alasan dia kini sudah berusia 60 tahun dan masih menanggung isteri serta tiga anak yang masih belajar.
HarianMetro-