KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah akan mengadakan lawatan negara ke Brunei bermula esok hingga Selasa ini.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Kunjungan itu adalah lawatan negara pertama baginda ke Brunei sejak menaiki takhta pada 31 Januari lalu.
Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini, berkata lawatan negara itu akan terus mengukuhkan lagi hubungan erat dan istimewa antara Malaysia dan Brunei yang ditunjangi institusi kesultanan Melayu, agama, budaya serta ikatan kekeluargaan.
“Lawatan itu juga dilihat signifikan dengan ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Brunei,” kata kenyataan itu.
Keberangkatan baginda akan diiringi Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin serta pegawai Istana Negara, kementerian dan agensi berkaitan.
Baginda akan diraikan pada Majlis Sambutan Negara di Istana Nurul Iman disusuli kunjungan menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.
“Sultan Hassanal Bolkiah juga akan mengadakan Majlis Santapan Negara bagi meraikan Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah.
“Baginda dan Raja Permaisuri Agong juga dijadualkan menghadiri sesi ramah mesra dengan komuniti Malaysia di Bandar Seri Begawan.
“Raja Zarith Sofiah juga akan mengadakan lawatan ke Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan merasmikan Sudut Penerbitan Malaysia yang mempamerkan penerbitan penyelidikan bersama antara Brunei dan Malaysia,” kata kenyataan itu.
Pada 2023, Brunei menjadi rakan dagang ke-30 terbesar Malaysia dan rakan dagang keenam terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan dagangan berjumlah RM9.31 bilion (AS$2.04 bilion).
Bagi tempoh dari Januari hingga Julai lalu, jumlah dagangan antara kedua-dua negara adalah sebanyak RM5.48 bilion (AS$1.16 bilion).
Bernama-
emsljd