KUALA LUMPUR : Kumpulan Jakel bakal membangunkan pusat data 51MW di Cyberjaya bernilai RM1.2 bilion menerusi kerjasamanya dengan PiDC Holding Bhd.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Menurut Jakel dalam satu kenyataan, ia akan mengambil alih 40 peratus kepentingan dalam projek itu iaitu Pi Data Center Sdn Bhd, manakala baki 60 peratus dipegang oleh PiDC.
Pusat data itu, katanya akan menjadi Pusat Data Tahap III yang canggih yang merangkumi tapak seluas 2.95 hektar di Cyberjaya.
“Projek ini akan dibina dalam tiga fasa, dengan pembinaan fasa pertama bermula pada suku ketiga tahun ini dan siap pada suku keempat 2025.
“Sebahagian besar kapasiti fasa pertama sudahpun dilaksanakan, menunjukkan permintaan kukuh untuk pusat data,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed, berkata pelaburan dalam pusat data itu menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan kumpulan untuk mempelbagaikan portfolionya kepada infrastruktur digital daripada perniagaan sedia ada dalam tekstil, hartanah, perladangan, penjagaan kesihatan dan peralatan ketenteraan.
“Pelaburan ini menekankan dedikasi kami untuk meneroka peluang baharu dan mengembangkan kepakaran kami dalam pasaran yang dinamik. Selain itu, projek ini adalah sejajar dengan agenda nasional yang lebih luas, seperti MyDIGITAL.
“Ia akan menyumbang kepada pembangunan infrastruktur digital yang teguh dan memudahkan pertumbuhan tenaga kerja digital, meningkatkan keupayaan Malaysia dalam inovasi digital,” katanya.
Pengarah Jakel Capital Sdn Bhd, Muhammad Ashraf, berkata infrastruktur digital adalah sebahagian daripada strategi kepelbagaian kumpulan.
“Keluarga Jakel telah memberikan modal RM1 bilion untuk pelaburan pada 2024, dengan komitmen modal yang lebih besar dijangka pada 2025.
“Selain usaha niaga ini, pelaburan strategik Kumpulan Jakel termasuk pegangan penting dalam Cypark Resources Bhd, firma tenaga boleh baharu yang disenaraikan di Bursa Malaysia, di mana Jakel muncul sebagai pemegang saham terbesar pada Januari 2023,” katanya.
PiDC Holdings Sdn Bhd ialah pengendali pusat data tempatan yang diasaskan bersama oleh Ong Chin Seong, yang membawa lebih dua dekad pengalaman global dalam reka bentuk, pembinaan dan pengendalian pusat data.
Chin Seong, yang juga berkhidmat sebagai pengerusi semasa Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (PIKOM), telah berjaya mereka bentuk dan membangunkan banyak pusat data, sama ada di dalam mahupun di luar negara.
-Berita Harian


