Sunday, May 19, 2024

Creating liberating content

Dana Perlindungan Kesihatan Bagi...

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memperkenalkan Dana Perlindungan Kesihatan Nasional untuk golongan isi...

MSN, KOM Kecewa Tuduhan...

KUALA LUMPUR - Majlis Sukan Negara (MSN) kesal dengan tindakan atlet olahraga kebangsaan,...

Najib Lancar Festival Seni...

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merasmikan...

Polis Imigresen Thailand Pasang...

BANGKOK – Polis Imigresen Thailand akan memasang sistem pemeriksaan pasport automatik di pintu...

UUM: Tiada Bukti Vinosiny Maut Akibat Renjatan Elektrik

Universiti Utara Malaysia (UUM) berhujah laporan bedah siasat polis dan siasatan bebas Suruhanjaya Tenaga (ST) tidak menunjukkan bukti pelajar S Vinosiny meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik dua tahun lalu.

IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..

Dalam pernyataan pembelaan terhadap saman RM3.05 juta oleh bapa mendiang, universiti awam itu mendakwa remaja berusia 20 tahun itu menghidap Fibrosis Miokardium yang meningkatkan risiko kematian akibat aritmia jantung dan tiada bukti sebarang terkena renjatan elektrik di kampus Sintok di Kedah di mana dia ditemui mati pada Mei, 2022.

Ini berdasarkan dokumen pemfailan UUM di mahkamah sivil yang dilihat Malaysiakini.

“Pada 5.3.2023, pihak Unit Undang-Undang Defendan telah menerima salinan surat bertarikh 28 Februari 2023 daripada Balai Polis Daerah Kubang Pasu yang dialamatkan kepada Pengarah Unit Keselamatan UUM yang memaklumkan bahawa tiada unsur jenayah dalam kes kematian mendiang Vinosiny a/p R Sivakumar.

“Laporan ‘Histopathology Forensic’ ke atas tisu-tisu jantung menunjukkan bahawa Vinosiny menghidap penyakit “Myocardial Fibrosis’ yang meningkatkan risiko beliau mengalami gangguan ‘ritma jantung’ yang boleh mendatangkan maut ditambah dengan satu kejutan elektrik yang bervoltan rendah,” dakwa UUM.

Bagaimanapun UUM menegaskan bahawa pada 24 Mei 2022, polis dan ST menyiasat bilik asrama tempat Vinosiny meninggal dunia di Sintok di Kedah, dan kemudian pada 4 Jun tahun lepas, UUM menerima laporan ST yang mendapati tiada kejanggalan pada komponen, peranti dan sistem bekalan elektrik di tempat kejadian.

“Oleh yang demikian, setelah melakukan siasatan ke atas barang-barang di tempat kejadian tersebut, pihak ST telah menyatakan dalam Laporan Siasatan bahawa kesimpulan siasatan adalah bahawa tiada unsur atau punca elektrik yang menunjukkan kematian Vinosiny berpunca dari renjatan elektrik,” kata UUM pada pernyataan pembelaan defendan yang difailkan oleh firma guaman Jayadeep Hari & Jamil di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 27 April.

UUM juga mempertikaikan keputusan Mahkamah Koroner pada Februari tahun lalu bahawa Vinosiny meninggal dunia kerana renjatan elektrik.

“Defendan selanjutnya menyatakan bahawa unit undang-undang defendan telah menerima surat maklumbalas bertarikh 22 Februari 2023 daripada Mahkamah Sesyen Alor Setar, yang memaklumkan keputusan Hakim Mahkamah Koroner pada 25 Januari 2023 bahawa Vinosiny a/p R Sivakumar meninggal dunia akibat kemalangan yang disebabkan oleh “electrocution”.

“Walau bagaimanapun, pihak defendan mempertikaikan ketepatan kandungan laporan koroner dan akan menghujahkan perkara ini semasa perbicaraan kelak,” dakwa universiti awam itu.

UUM berhujah bahawa keputusan inkues punca kematian Vinosiny dibuat tanpa mengambil kira keterangan defendan serta dapatan ST.

Untuk rekod, UUM masih mempunyai permohonan semakan jenayah yang belum selesai di hadapan Mahkamah Tinggi Alor Setar untuk membatalkan keputusan Mahkamah Koroner itu.


Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam keluarga mendiang M Manoharan mengesahkan pihaknya telah diserahkan salinan pernyataan pembelaan UUM itu.

Peguam itu berkata keluarga akan memfailkan jawapan balas untuk membantah pernyataan pembelaan UUM selaku defendan dalam kes saman keluarga itu.

Pada 28 Feb lepas, bapa mendiang R Sivakumar memfailkan saman kecuaian terhadap UUM.

Menurut salinan pernyataan tuntutan, plaintif berusia 54 tahun itu menuntut ganti rugi am RM1 juta, ganti rugi teruk RM1 juta, ganti rugi teladan RM1 juta dan ganti rugi khas RM50,000.

Dia mendakwa UUM ingkar tanggungjawab menjaga keselamatan Vinosiny daripada terkena renjatan elektrik semasa menggunakan bilik asrama.

Plaintif mendakwa universiti awam itu gagal menggantikan atau membaiki lampu dinding elektrik atau peranti lain yang rosak atau mengambil sebarang langkah yang munasabah untuk menjadikan peralatan tersebut selamat.

Sivakumar mendakwa UUM gagal memberi amaran yang mencukupi kepada anak perempuannya mengenai keadaan bahaya lampu dinding elektrik atau peralatan lain di dalam bilik asrama itu.

Selain pampasan kewangan, plaintif juga menuntut faedah lima peratus ke atas sebarang jumlah yang diberikan dari tarikh penghakiman hingga tarikh realisasi, kos, dan apa-apa relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah sivil.

Pada Mei 2022, dilaporkan bahawa Vinosiny yang menuntut di UUM di Sintok, Kedah, disyaki meninggal dunia akibat renjatan elektrik di bilik asramanya.

Mendiang yang berada di semester empat pengajian perakaunan dan sistem maklumat, kembali ke kampus seminggu sebelum tragedi itu.

-Malaysia Kini

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori