IPOH : Operasi memadamkan kebakaran di kawasan hutan bukit seluas 10 hektar berhampiran Pos Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) dekat Gerik masih diteruskan melibatkan 70 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata ketika ini kira-kira satu hektar daripada keseluruhan kawasan masih terbakar namun pada tahap terkawal.
“Kebakaran berlaku sejak kelmarin (7 April) selain kerja-kerja pemantauan dan tindakan operasi diteruskan lagi hari ini dengan melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) daerah Kinta, Kerian, Larut Matang dan Selama (LMS) serta Gerik.
“Sisa kebakaran dianggarkan berbaki lebih kurang satu hektar dengan membabitkan beberapa lokasi yang masih terdapat lagi api dan kepulan asap,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sabarodzi berkata, proses pemadaman kebakaran itu mengambil sedikit masa ekoran struktur tanah berlubang serta terdapat banyak pokok tumbang yang menghalang laluan.
“Kenderaan pacuan empat roda milik kami sukar untuk mengakses kawasan yang masih terbakar selain bantuan dari unit udara (helikopter) tidak dapat digunakan kerana terlibat dengan operasi kebakaran hutan di Pahang,” katanya.
-Berita Harian