GEORGETOWN: Taktik sindiket dadah menyimpan bekalan ganja dalam kubur Cina di Mount Erskine, Pulau Tikus, di sini, bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, terbongkar apabila polis berjaya menahan dua lelaki tempatan serta merampas dadah bernilai RM496,088 dalam siri serbuan pada Rabu dan Khamis lalu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Dalam serbuan itu, polis merampas 100 bungkusan ganja mampat dikesan disembunyikan di dalam sebuah kubur Cina lama yang dipercayai dikorek lubang kira-kira 60 sentimeter (cm).
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid, berkata terdahulu polis memberkas seorang lelaki berusia 50 tahun di tepi jalan kawasan Estate Hong Seng kira-kira jam 4 petang dan merampas ganja seberat 7.82 gram (g) yang ada bersamanya.
“Polis kemudian menahan seorang lelaki berumur 35 tahun kira-kira 300 meter (m) dari tempat suspek pertama ditahan, dan merampas ganja serta syabu bernilai hampir RM10,000,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Seterusnya, Razlam berkata, lelaki kedua itu membawa polis ke sebuah pondok dalam hutan di perkampungan Estate Hong Seng sebelum pasukan merampas 45 bungkusan ganja mampat seberat hampir 50 kilogram (kg) di situ.
Katanya, kesemua ganja bernilai RM154,869 itu disimpan dalam dua guni dan disembunyikan di pondok berkenaan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Hasil soal siasat, beliau berkata, lelaki pertama yang ditahan membawa polis ke kawasan tanah perkuburan Cina sebelum pasukan menemukan 100 bungkusan mampat ganja seberat 102.9kg bernilai RM331,272 yang disorok dalam sebuah kubur di situ.
“Kubur itu merupakan kubur lama dan jauh dari kawasan perkuburan baharu di situ. Sindiket terbabit dipercayai mengorek lubang kira-kira 60cm dalam kubur itu untuk menyimpan ganja berkenaan,” katanya.
Berdasarkan hasil siasatan, beliau berkata, kedua-dua lelaki itu disyaki daripada rangkaian sindiket yang sama dan bergiat aktif sejak Disember lalu, selain dipercayai mendapat bekalan ganja dari negara jiran untuk pasaran tempatan.
“Dua lelaki yang tidak bekerja, positif dadah dan mempunyai pelbagai rekod lampau itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Bernama-


