Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) melaksanakan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 bermula 6 Jun lalu hingga 31 Mei 2024.
PKPS 2.0 merupakan salah satu usaha kerajaan untuk menggalakkan pembayar cukai tampil secara sukarela dan melaporkan pendapatan yang sepatutnya.
Ia merupakan inisiatif HASiL untuk menyokong rukun pemampanan dalam pentadbiran percukaian negara seiring dengan konsep Malaysia Madani.
Terdapat tiga kriteria yang menarik dalam PKPS 2.0.
Pertama, ia merupakan peluang kedua kepada mereka yang mempunyai pendapatan tidak pernah dilaporkan atau kurang dilaporkan, perbelanjaan atau tuntutan terlebih tuntut atau tidak dibenarkan.
Kedua, pembayar cukai akan menikmati tawaran penalti pada kadar 0 peratus yang bermakna tiada penalti akan dikenakan sekiranya mereka melaporkan pendapatan menerusi program khas pengakuan sukarela ini dan menyelesaikan bayaran cukai dalam tempoh program ini dilaksanakan.
Ketiga, dapat mengelak dikenakan tindakan penguatkuasaan audit sedia ada yang mana pengenaan penalti adalah berdasarkan Rangka Kerja Audit Cukai yang sedang berkuat kuasa.
Seperti semua sedia maklum, HASiL di bawah peruntukan undang-undang mempunyai kuasa untuk melakukan audit iaitu pemeriksaan akaun perniagaan terhadap pembayar cukai.
Ia bagi menyemak sama ada cukai telah dilapor dan dibayar mengikut jumlah secukupnya dan undang-undang serta peraturan percukaian dipatuhi sepenuhnya.
Sebarang pertambahan amaun cukai kena dibayar hasil penemuan audit adalah layak untuk dikenakan penalti di bawah subseksyen 113(2) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.
Malah, bagi kes melibatkan kesalahan audit yang berulang, kadar penalti adalah 60 peratus daripada cukai dikenakan serta ditambah 10 peratus bagi setiap kali kesalahan dilakukan.
Terdapat pelbagai asas dan cara bagaimana pembayar cukai mungkin dipilih untuk diaudit antaranya pemilihan melalui analisis risiko, semakan manual atas Borang Nyata Pendapatan (BNP) atau semakan rekod pihak ketiga.
Pemilihan berasaskan kawasan-kawasan tertentu juga boleh menjadi sebab anda diaudit dan HASiL tidak perlu memberitahu sebab pembayar cukai dipilih untuk diaudit.
Jadi, sekiranya anda mungkin antara pihak gagal mematuhi ketetapan percukaian HASiL sebelum ini, maka PKPS 2.0 adalah harapan terbaik untuk anda memperbetulkan keadaan.
PKPS 2.0 mengkehendaki pembayar cukai membuat pelaporan pendapatan dan pengiraan cukai yang tepat dan teratur selaras dengan ketetapan HASiL.
Semakan pengiraan cukai akan dilakukan bagi memastikan ketepatan pengiraan cukai bagi pengakuan sukarela yang dibuat.
Pihak HASiL akan menerima maklumat pengakuan sukarela yang dibuat dalam tempoh program itu dengan `suci hati’.
Semakan lanjut sama ada melalui audit atau siasatan tidak akan dilakukan terhadap tahun taksiran yang berkaitan dengan pendapatan yang dilaporkan secara sukarela tersebut.