KLANG: Seorang lelaki menyembur api menggunakan semburan aerosol untuk menakutkan pekerja sebuah kedai runcit di kampung Johan Setia, di sini, sebelum merompak premis itu bersama tiga rakannya yang lain.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari Rabu lalu ketika empat perompak itu berpura-pura memasuki premis sebagai pelanggan untuk membeli barang.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, siasatan mendapati, seorang daripada suspek tiba-tiba mengeluarkan pemetik api dan botol penyembur aerosol lalu membakarnya di hadapan mangsa untuk menakutkannya.
“Pada masa sama, dua suspek masuk ke dalam kawasan kaunter dan mengambil duit, dua karton rokok, tiga tabung derma serta telefon bimbit mangsa yang dianggar bernilai RM800.
“Suspek kemudian melarikan diri menaiki kenderaan jenis Perodua Alza,” katanya mengesahkan pekerja kedai terbabit tidak mengalami kecederaan.
Hoong Fong berkata, susulan laporan polis diterima sehari selepas kejadian itu, polis menahan seorang suspek di Kampung Bunga Raya di Kuang kira-kira jam 8.30 malam hari sama.
“Semakan mendapati, suspek, 35, memiliki 18 rekod lampau membabitkan 11 kes jenayah ddan lapan kes dadah.
“Beberapa jam selepas tangkapan itu, dua lagi suspek ditahan di Bukit Tinggi, Klang dan polis turut merampas pakaian serta beberapa barang kes beberapa jam kemudian,” katanya.
Semua tiga suspek kini ditahan reman lima hari sehingga 5 Disember mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
BHonline-