PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka mengumumkan rombakan Kabinet esok.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri Persekutuan yang terbabit dengan rombakan itu dijadualkan berlangsung di Istana Negara, pada jam 2.30 petang.
Majlis yang akan berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah disenaraikan oleh BERNAMA untuk liputan media rasmi sahaja.
Rombakan itu dijangka menyaksikan beberapa perubahan atau pertukaran menteri dan timbalan di beberapa kementerian.
Difahamkan, rombakan dijangka menyaksikan kemunculan beberapa muka baharu dan lama kembali mengisi kedudukan dalam Kabinet dan senarai Timbalan Menteri.
Antara yang disebut-sebut bakal terbabit dalam rombakan itu adalah Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahary, yang juga Naib Presiden AMANAH.
Ketika ini, jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang juga Timbalan Presiden AMANAH, pada Julai lalu.
Difahamkan, rombakan Kabinet ini dijangka menyaksikan kemunculan semula beberapa lama muka dan muka baharu mengisi kedudukan dalam Kabinet dan senarai Timbalan Menteri.
Ketika dibentuk setahun lalu, Kabinet Perpaduan yang membabitkan 18 parti politik, menyaksikan 28 menteri dan 27 timbalan menteri termasuk pelantikan dua Timbalan Perdana Menteri buat pertama kali dalam sejarah Malaysia.
Sebelum ini, Perdana Menteri memberi bayangan akan membuat rombakan Kabinet dalam bulan ini.
Pada 6 Disember lalu, Anwar dilaporkan berkata, rombakan Kabinet perlu diadakan sekiranya prestasi jemaah menteri meleset atau jika terdapat keadaan yang menuntut ia dilaksanakan.
Bagaimanapun, beliau berkata, tempoh masa setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan masih terlalu awal untuk membuat penilaian yang adil dan menteri-menteri perlu diberikan peluang untuk memperbaiki serta meningkatkan prestasi.
“Saya fikir tidak lama lagi… tetapi saya fikir setelah satu tahun, kita buat penilaian yang adil. Orang perintah 10 tahun, tiga tahun… setahun ini terlalu awal, jadi menteri-menteri harus diberi peluang meningkatkan prestasi termasuk Perdana Menteri,” katanya.
BHonline-