KUALA LUMPUR: Semua premis perniagaan dalam Menara Ilham boleh beroperasi seperti sedia kala biarpun bangunan terbabit disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ini kerana notis sitaan berkenaan hanya memfokuskan bagi sebarang urusan pemindahan pemilikan harta tak alih itu yang tidak memberi sebarang implikasi kepada aktiviti perniagaan dalam bangunan 60 tingkat terbabit.
Peguam Datuk Geethan Ram Vincent, berkata ‘larangan bagi semua transaksi berkaitan harta tak alih’ dalam notis itu hanya merujuk kepada pemilik tidak boleh menjual atau memindah milik bangunan berkenaan sahaja.
“Ia (notis sitaan) hanya merujuk kepada larangan segala urusan mengenai urusan pertukaran atau memindah pemilikan (bangunan terbabit),” katanya seperti dilaporkan NST, hari ini.
Tinjauan di Menara Ilham pula mendapati, tiada sebarang notis atau pita larangan dipasang di bangunan dikatakan milik keluarga bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.
BH semalam, melaporkan Menara Ilham yang turut menempatkan hotel, pejabat dan galeri lukisan disita menerusi notis bertarikh 18 Disember lalu, disiarkan di ruangan pemberitahuan sebuah portal berita dan
ditandatangani Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib.
Notis mengikut Seksyen 38(1) Akta SPRM 2009 itu ditujukan kepada Pendaftar Hak Milik, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.
Daim sebelum ini dilaporkan antara individu disiasat SPRM berkait transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997, membabitkan Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM), dua entiti yang juga bekas tonggak perniagaan dikaitkan dengan UMNO ketika parti itu mentadbir negara.
Siasatan itu kesinambungan daripada pendedahan dokumen sulit oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.
Susulan itu, SPRM pada Jun lalu membekukan akaun bank bernilai lebih RM39 juta, antara lain membabitkan milik bekas menteri kanan, dua ahli perniagaan bergelar ‘Tan Sri’ dan ahli keluarga mereka.
Pembekuan itu membabitkan 192 akaun bank, merangkumi 35 akaun syarikat dan 157 akaun individu.
Sementara itu, eksekutif kewangan yang rapat dengan Daim, memaklumkan bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan itu menerima arahan terbabit daripada SPRM, hujung Mei lalu seperti dilaporkan Channel News Asia.
Arahan terbabit meminta Daim mendedahkan pegangan kewangan dan aset milik beliau serta ahli keluarga bekas Bendahari Barisan Nasional itu. Namun, bekas Ahli Parlimen Merbok itu enggan berbuat demikian.
BHonline-