MOSCOW: Seorang gadis berusia 14 tahun menembak mati rakan dan mencederakan lima pelajar lain hari ini sebelum membunuh diri di sebuah sekolah di bandar Bryansk, Russia.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
“Siasatan awal mendapati seorang gadis berusia 14 tahun membawa senapang ke sekolah dan melepaskan tembakan ke arah rakan sekelasnya,” kata Jawatankuasa Penyiasatan Russia dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, penyiasat sedang berusaha untuk menentukan motif kejadian.
Gabenor wilayah, Alexander Bogomaz menyifatkan kejadian itu sebagai tragedi yang dahsyat.
Beliau berkata, lima yang cedera kesemuanya adalah kanak-kanak yang mengalami kecederaan ringan atau sederhana.
Akhbar berita Mash menerbitkan gambar penembak yang terbaring di atas lantai dan berpakaian serba hitam.
Laporan itu berkata, suspek juga bersenjatakan pisau memburu.
Foto itu menunjukkan sebilah pisau panjang yang dimasukkan ke dalam but kanannya.
Senjata api biasanya dikawal ketat di Russia, tetapi Bryansk adalah antara wilayah selatan yang pernah menyaksikan serangan rentas sempadan semasa perang dengan Ukraine, dan Moscow menggalakkan pembentukan unit pertahanan diri.
“Bersama-sama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang, kami sedang menentukan keadaan di mana pelajar itu boleh mendapatkan dan membawa senjata ke sekolah,” kata Bogomaz.
Russia telah menyaksikan beberapa kejadian tembakan di sekolah dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada 2018, seorang pelajar berusia 18 tahun membunuh 20 orang kebanyakannya pelajar, dalam satu tembakan beramai-ramai di sebuah kolej di Crimea sebuah wilayah yang diduduki Russia, yang dirampas Moscow dari Ukraine pada 2014.
Pada September tahun lalu, seorang bekas pelajar lelaki bersenjata dengan memakai baju dengan lambang swastika membunuh 15 orang, termasuk 11 kanak-kanak, dan mencederakan 24 lain di sebuah sekolah di Izhevsk, dan kemudian membunuh diri, kata penyiasat.
BHonline-