SEBANYAK 874 isu berkait sistem pendidikan tinggi Malaysia berjaya dikenal pasti di peringkat awal, sepanjang tiga bulan selepas Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC) ditubuhkan.
Dalam tempoh itu juga, sebanyak 58 cadangan penambahbaikan utama telah dikemukakan oleh para tokoh dan pakar-pakar dalam bidang pendidikan tinggi yang dilantik menganggotai jawatankuasa khas tersebut. Namun, kesemua saranan ini masih belum dimuktamadkan.
Kelanjutan dalam tempoh singkat itu menunjukkan betapa serius Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di bawah kepimpinan semasa untuk menilai semula semua prinsip, dasar dan sistem pendidikan tinggi Malaysia sedia ada.
Semakan dan kajian semula ke atas pendidikan tinggi negara adalah bersifat mandatori berdasarkan perkembangan semasa termasuk dalam aspek perubahan teknologi dan keperluan industri.
Sekiranya KPT tiada keberanian membawa pembaharuan untuk memastikan relevansi pendidikan tinggi negara, lambat laun bidang berkait modal insan negara itu akan lapuk dan ketinggalan.
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, secara umum terdapat tujuh isu utama dikenal pasti NRC sedang dihadapi oleh sektor pendidikan tinggi negara ketika ini.
Pertama, peraturan ketat yang mengekang perkembangan dan
pertumbuhan sektor pendidikan tinggi; kedua berkait proses atau birokrasi yang menyebabkan kelewatan dan ketidakcekapan.
Ketiga adalah berkenaan penyelarasan yang tidak memenuhi keperluan industri dan reka bentuk akademik, manakala keempat tentang hala tuju yang tidak jelas akibat kekurangan dasar dan peraturan yang baik.
Isu kelima yang dikenal pasti adalah tentang sumber terhad dan keenam berkenaan mekanisme pembiayaan tidak memberi insentif kepada prestasi tinggi dan ketujuh tentang penguatkuasaan serta pelaksanaan yang lemah.
Perubahan atau impak utama yang dikenal pasti oleh NRC yang diperlu dilaksanakan segera dalam mendepani isu tersebut adalah berhubung peningkatan kecemerlangan pendidikan tinggi.
Ternyata apa yang disebut oleh Menteri Pendidikan Tinggi tentang permasalahan dan saranan awal yang dikenal pasti NRC tersebut sangat signifikan dengan perkembangan zaman.
Tujuh isu utama itu sebenarnya telah pun membelenggu dasar dan sistem pendidikan tinggi negara sejak sekian lama sehingga mengekang keperluan sebenar masyarakat dan negara ini.
Membangkitkan pula tentang isu pencapaian kebolehpasaran graduan yang belum dibanggakan terutama apabila diukur menggunakan rujukan keupayaan mendapat gaji premium RM4,000 ke atas.
Justeru, usaha dilakukan KPT melalui NRC bagi meningkatkan kualiti pendidikan tinggi negara yang setanding dengan piawaian global seharusnya didokong dan disokong oleh semua pihak tanpa ragu-ragu.
Isu berkenaan pendidikan tinggi negara untuk sebuah perubahan adalah mustahak agar tidak lagi bersifat `bagai katak di bawah tempurung’ dan amat jelas kepimpinan baharu KPT tidak berkompromi dalam soal itu.
Penganjuran Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara yang diadakan di Putrajaya pada 23 Oktober lalu sebagai sokongan ke atas cadangan-cadangan NRC adalah cerminan kepada tekad dan iltizam KPT.
Perasmian penutupan program itu dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof mewakili Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Wan Amsyar Hadie Wan Mahadi memberitahu Mynewshub, usaha yang dilakukan dalam menubuhkan NRC adalah sangat sesuai dilaksanakan memandangkan memang wujud masalah terhadap pendidikan tinggi negara kebelakangan tahun ini.
“Jika dapat dirangkumkan, soal kepercayaan masyarakat kepada pendidikan tinggi negara adalah tunjang yang terbesar perlu dikembalikan supaya institusi pendidikan dapat dipelihara dan ditambah mutu.
“Usaha yang dilaksanakan oleh NRC ini dilihat membuahkan hasil apabila dapat mengenal pasti masalah-masalah utama yang berlaku seterusnya melaksanakan sesi libat urus dengan pihak pemegang taruh untuk mendapat segala maklumat secara terperinci,” jelasnya.
Tambah Amsyar, pelan tindakan yang akan dilakukan oleh KPT seperti yang dicadangkan oleh NRC seharusnya dapat menyediakan satu anjakan perubahan yang besar dalam menerajui perubahan sistem pendidikan tinggi negara ke arah yang lebih baik.