PETALING JAYA : Penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman, akan mengetahui nasibnya pada 3 Oktober ini, sama ada dilepaskan atau dipanggil membela diri atas tiga pertuduhan kes dadah.
[100 PRODUK HALAL TAIWAN BOLEH DIDAPATI DI 50 KEDAI 7-ELEVEN SELURUH NEGARA]
Hakim Mahkamah Sesyen Faiz Dziyauddin, memutuskan tarikh berkenaan selepas pihak pendakwaan memaklumkan menutup kes itu hari ini.
“Pihak pendakwaan dan pembelaan Muhammad Yasin perlu memfailkan hujahan bertulis pada 29 September ini dan 3 Oktober keputusan di akhir kes pendakwaan.
“Pada 17 dan 27 Oktober ini prosiding bela diri (jika Muhammad Yasin dipanggil berbuat demikian),” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, menyatakan mahu menutup kes selepas selesai pemeriksaan semula terhadap saksi pendakwaan keenam yang juga pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya ketika itu, Inspektor Muhammad Amirul Mukmin Aziz.
Muhammad Amirul antara tujuh saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan bermula 28 Ogos lalu.
Pihak pendakwaan juga menawarkan tujuh saksi kepada pembelaan termasuk Dr Brian Ho dan Dr Derrick Chow, masing-masing dari Hospital Pantai Kuala Lumpur serta Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Bagaimanapun, peguam bela Muhammad Yasin, Nur’Ain Shahiera Khalid mengesahkan tidak bercadang untuk memanggil mana-mana saksi ditawarkan pendakwaan pada prosiding bela diri.
Sementara itu ketika pemeriksaan utama oleh Raja Zaizul Faridah, Muhammad Amirul berkata,
penyanyi itu tidak mengalami sebarang simptom kecelaruan atau tidak waras ketika dalam tahanan reman selama tujuh hari tahun lalu.
Katanya, tertuduh dalam keadaan baik dan sihat, selain memahami serta menjawab soalan yang dikemukakan dengan baik.
Muhammad Yasin, 48, didakwa memberikan dirinya dadah di pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada jam 11.05 malam, 24 Mac tahun lalu.
Pendakwaan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Penyanyi itu juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah di kediamannya di Persiaran Surian, Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, di sini, jam 5.30 petang, pada tarikh sama.
Pertuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 6 ADB dan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan menanam pokok kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB dan boleh dipenjara seumur hidup serta sebat tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan.
-Berita Harian