MERSIN: Pasukan penyelamat bersiap siaga untuk membawa keluar seorang penjelajah gua warga Amerika Syarikat (AS) yang terperangkap lebih 1,000 meter (m) di bawah tanah dalam kejadian di selatan Turkiye.
[100 PRODUK HALAL TAIWAN BOLEH DIDAPATI DI 50 KEDAI 7-ELEVEN SELURUH NEGARA]
Mangsa, Mark Dickey, 40, sedang menjalankan misi eksplorasi antarabangsa dalam Gua Morca di pergunungan Taurus di wilayah Mersin, sebelum mula mengalami pendarahan gastrousus ketika berada pada kedalaman 1,040m.
Gabenor Mersin, Ali Hamza Pehlivan memberitahu pemberita, semalam, operasi mengeluarkan Dickey berkemungkinan akan mengambil masa beberapa hari.
Lebih 150 anggota penyelamat dari Turkiye dan negara lain terbabit dalam usaha menyelamatkan mangsa dari gua ketiga paling dalam di Turkiye itu.
Pemangku Pegawai Maklumat Awam bagi Pasukan Tindak Balas Awal New Jersey, Carl Heitmeyer, berkata Dickey berada keadaan stabil tetapi lemah.
“Anggota penyelamat berdepan keadaan gua yang sukar, dalam dan berlumpur,” katanya dalam satu kenyataan melalui e-mel.
Jurugambar bersama Dickey dalam misi itu, Agnes Berentes pula memberitahu REUTERS, gua itu menegak dan mempunyai banyak laluan sempit.
Rakaman imej operasi itu menunjukkan Dickey terbaring di dalam gua berkenaan dan menerima rawatan daripada pasukan perubatan.
Rakaman juga menunjukkan pasukan lain bergerak menuruni gua dengan menggunakan tali dan terpaksa menempuhi laluan sempit.
Operasi menyelamat itu dibahagikan kepada tujuh bahagian yang setiap satu membabitkan pasukan dari negara berlainan disebabkan kerumitannya, kata ketua mencari dan menyelamat Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Turkiye (AFAD), Recep Salci.
BHonline-