NILAI : Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil inisiatif secara rintis pemindahan kanak-kanak warga asing dari depot Imigresen ke penempatan khas sementara dikenali sebagai Baitul Mahabbah.
[100 PRODUK HALAL TAIWAN BOLEH DIDAPATI DI 50 KEDAI 7-ELEVEN SELURUH NEGARA]
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Baitul Mahabbah akan menempatkan kanak-kanak yang berusia kurang 10 tahun dan akan diuruskan oleh Jabatan Imigresen.
Katanya, penempatan berkenaan bertujuan memastikan kebajikan kanak-kanak yang berada di depot Imigresen terus terpelihara dan selamat.
“Penempatan ini membabitkan kanak-kanak yang mempunyai penjaga atau sebaliknya. Ia adalah bersifat sementara sehingga urusan dokumentasi mereka dapat disiapkan bagi tujuan dihantar pulang ke negara asal.
“Inisiatif ini adalah sesuai dengan undang-undang dan peraturan di bawah Akta Kanak-Kanak 2021 ataupun di bawah Kanun Keseksaan dan juga komitmen kita terhadap Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak.
“Dalam usaha ini, KDN bukan sendirian tetapi diwujudkan dengan kerjasama dan bantuan badan bukan kerajaan (NGO) serta agensi lain termasuk di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan penempatan khas berkenaan di Kompleks Kediaman Awam (KKKA) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dekat sini, hari ini.
Saifuddin berkata melalui bantuan NGO, proses melengkapkan peralatan dan kemudahan untuk keselesaan kanak-kanak di penempatan berkenaan dapat dipercepatkan.
Beliau berkata, Pejabat Strategik Nasional Majlis Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran (NSO MAPO) dan Bahagian Hal Ehwal Imigresen (IM) adalah peneraju bersama di peringkat KDN bagi pelaksanaan inisiatif ini.
Katanya, kementeriannya juga akan mengadakan libat urus dengan NGO bagi tujuan pengisian aktiviti kepada kanak-kanak yang ditempatkan di Baitul Mahabbah terbabit.
“Pada peringkat permulaan ini, terdapat 23 kanak-kanak dan 10 orang penjaga dari kalangan ibu kanak-kanak terbabit.
“Kanak-kanak dan ibu mereka ini dari Depot Imigresen Bukit Jalil, Depot Imigresen Semenyih, Depot Imigresen KLIA dan Depot Imigresen Eco Millennium Beranang,” katanya yang memaklumkan penempatan terbabit boleh memuatkan sehingga 80 kanak-kanak.
Saifuddin berkata setakat ini terdapat 1,382 tahanan kanak-kanak yang berusia 18 tahun ke bawah.
Katanya, penempatan kanak-kanak terbabit adalah bersifat sementara sehingga proses dokumentasi oleh kedutaan negara masing-masing selesai.
“Ini bermakna kanak-kanak ini tidak akan kekal di sini, malah proses pemindahan ke negara asal berjalan seperti biasa sebagaimana proses di depot imigresen yang lain. Cuma bezanya kanak-kanak ditempatkan secara berasingan di sini,” katanya.
Saifuddin berkata, inisiatif ini adalah strategi serampang dua mata dalam mewujudkan polisi baharu mengenai kepentingan terbaik kepada kanak-kanak di negara ini.
“Selain itu untuk meningkatkan imej negara di persada antarabangsa dalam usaha menjaga hak asasi kanak-kanak dalam depot Imigresen,” katanya.
-Berita Harian


