RABAT : Jumlah korban gempa bumi kuat yang melanda Maghribi, lewat malam kelmarin, terus meningkat melepasi 2,000 mangsa kini, manakala lebih 2,000 lagi mengalami kecederaan dengan ramai yang parah.
[100 PRODUK HALAL TAIWAN BOLEH DIDAPATI DI 50 KEDAI 7-ELEVEN SELURUH NEGARA]
Kementerian Dalam Negeri Maghribi dalam satu kenyataan, semalam, berkata sekurang-kurang 2,012 kematian telah disahkan dan 2,059 mangsa cedera, termasuk 1,404 berada dalam keadaan kritikal.
Jumlah itu mencakupi 1,293 korban direkodkan di wilayah Al-Haouz yang juga pusat gempa kali ini, dan 452 di wilayah Taroudant – dua kawasan paling terkesan dalam bencana gempa bumi paling berdarah sepanjang tempoh lebih enam dekad di Maghribi.
Menurut kenyataan itu lagi, pihak berkuasa terus bertungkus lumus menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR), termasuk memindahkan mangsa yang cedera.
Maghribi turut mengisytiharkan perkabungan negara selama tiga hari.
Terdahulu, Pusat Geofizik Maghribi memaklumkan gempa berlaku sejurus selepas jam 11 malam itu berukuran 7.2 magnitud yang menggegarkan Ighil di Pergunungan Atlas.
Ighil merupakan kawasan perkampungan pertanian kecil yang terletak kira-kira 70 kilometer (km) barat daya bandar Marrakech.
Bagaimanapun, agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) mencatatkan gempa itu berukuran 6.8 magnitud pada kedalaman 18.5km.
Gempa berkenaan dilapor menggegarkan wilayah Al Haouz, Ouarzazate, Marrakech, Azilal, Chichaoua dan Taroudant.
Malah, gegaran itu dilaporkan turut dirasai hingga sejauh Huelva dan Jaen di wilayah Andalusia, selatan Sepanyol.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih 300,000 penduduk terkesan di Marrakech serta kawasan sekitar, manakala Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) menjangkakan usaha menangani impak bencana itu mengambil masa berbulan-bulan atau boleh hingga bertahun-tahun.
Seorang penduduk perkampungan Moulay Brahim di Pergunungan High Atlas yang hanya dikenali sebagai Lahcen berusia 40-an, tidak dapat menahan kesedihan susulan kematian isteri dan empat anaknya dalam tragedi itu.
“Saya hilang segala-galanya. Saya tidak berdaya melakukan apa-apa buat masa ini. Saya hanya mahu bersendirian dan meratap,” katanya sebak dengan suara amat lemah.
Tiga mayat anak perempuan Lahcen telah dikeluarkan dari bawah runtuhan kediaman mereka, manakala isteri bersama anak lelakinya masih terperangkap dan dipercayai turut maut, setakat tengah hari semalam. Ketika gempa melanda, Lahcen berada di luar kediaman mereka.
-Berita Harian