Johor Bahru : Inisiatif eBelia Rahmah tidak terguna pakai kepada pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) berikutan mereka sudah menerima elaun sebanyak RM450 sebulan.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Perkara itu dijelaskan Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan bagi menjawab dakwaan pelajar IPG yang menyatakan mereka dianaktirikan daripada menerima eBelia Rahmah.
Beliau turut meminta ahli politik yang membuat tuduhan berkenaan dan individu terbabit menyemak fakta berhubung elaun pelajar IPG.
“Pelajar IPG tidak dapat kemudahan ini (eBelia Rahmah) kerana mereka diberikan elaun RM450 sebulan. Ia adalah elaun yang sebelum ini sudah diberikan ketika kerajaan sebelum ini, maka ia diteruskan.
“Pelajar yang berada di universiti lain pula tidak dapat kemudahan RM450 sebulan ini, maka sebab itu mereka diberikan bantuan RM200.
“Saya harap ahli politik yang berkenaan menyemak fakta itu kerana pelajar IPG, mereka dapat lebih daripada yang lain melalui elaun yang disediakan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke Jabatan Penilaian dan Perkhimatan Harta (JPPH) Johor, di sini, hari ini.
Ahmad berkata, seramai 2 juta belia berusia antara 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi (IPT) layak menerima kredit berjumlah RM200 melalui tiga platform e-Dompet mulai 26 Jun lalu.
Katanya, inisiatif eBelia Rahmah diumumkan di bawah Belanjawan 2023 yang matlamatnya untuk memupuk budaya tanpa tunai dalam kalangan belia di samping menyokong pertumbuhan ekonomi perusahan mikro, kecil dan sederhana.
Sebelum ini, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan mengapa pelajar IPG dianaktirikan daripada mendapat manfaat inisiatif eBelia Rahmah.
Ahli Parlimen Muar itu menyifatkan perkara berkenaan tidak adil sedangkan mereka juga pelajar sepenuh masa sama seperti penuntut IPT lain.
Sementara itu, Ahmad berkata, tiada sebarang penebusan tunai dibenarkan bagi inisiatif eBelia Rahmah sekali gus meminta penerima berwaspada dengan pihak yang menawarkan perkhidmatan menebus tunai bantuan berkenaan.
“Kita menyeru kepada penerima supaya tidak terperdaya dengan sebarang iklan dan tawaran yang menyediakan perkhidmatan tebus tunai terutama di media sosial.
“Kredit RM200 ini tidak boleh ditebus tunai dan juga tidak boleh dipindah secara ‘peer to peer’. Saya harap pelajar dan belia tidak tertipu dengan tawaran ini, memang tidak boleh,” katanya.
Menurutnya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), esok dalam usaha mengekang isu penipuan membabitkan inisiatif terbabit.
-Harian Metro


