BUKIT MERTAJAM: Seorang pemandu lori maut dihempap mampatan kertas kitar semula dianggarkan seberat 600 kilogram (kg) di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak, Simpang Ampat, dekat sini, kelmarin.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Dalam kejadian jam 7.45 malam itu, mangsa, 36, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dialami.
Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, berkata siasatan awal mangsa adalah pemandu lori kontena syarikat sub kontraktor yang dilantik menghantar dan memunggah set kertas kitar semula menggunakan kontena diterima daripada pembekal ke kilang berkenaan.
“Ketika sampai di kilang mangsa membuka pintu kontena terlebih dahulu sebelum menghidupkan lampu belakang lori. Ketika itu satu set mampatan kertas kitar semula dengan berat lebih kurang 600 kg telah jatuh dan mengenai mangsa.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian,” katanya.
Susulan kejadian itu, JKKP berkata satu notis larangan dikeluarkan bagi menghentikan kerja memunggah set kertas kitar semula itu serta-merta sehingga siasatan selesai.
Pada masa sama, JKKP negeri akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran mengikut peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
“Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja yang mana mereka bertanggungjawab mengenal pasti terlebih dahulu bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.
“Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan,” katanya.
Tegasnya, kejadian seumpama itu boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).
BHonline-


