KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda, hari ini akan membuat keputusan berhubung permohonan kumpulan Sulu untuk mendapatkan pengiktirafan dan penguatkuasaan tuntutan anugerah sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) terhadap Malaysia, yang dikatakan melalui proses timbang tara pada Februari tahun lalu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Mahkamah itu dijadual bersidang pada jam 4 petang ini (waktu Malaysia) bagi membuat keputusan sama ada anugerah akhir yang dikeluarkan penimbang tara Sepanyol, Dr Gonzalo Stampa pada 2022 kepada lapan individu yang mendakwa sebagai waris Sulu boleh dikuatkuasakan di Belanda.
Susulan keputusan Stampa itu, kumpulan Sulu dilaporkan membuat beberapa tindakan, termasuk cuba merampas aset PETRONAS di Luxembourg, aset di Belanda dan juga menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis, termasuk sebahagian daripada kedutaannya.
Pada 19 April lalu, Sekretariat Khas Sulu dalam satu kenyataan berkata, Mahkamah Rayuan The Hague mendengar hujahan daripada kerajaan Malaysia dan pihak yang menuntut semasa prosiding yang diadakan pada 17 April lalu.
Semasa prosiding, Malaysia mengemukakan pembelaan permohonan pihak Sulu itu untuk pengiktirafan dan penguatkuasaan anugerah akhir yang dikeluarkan secara tidak sah di sisi undang-undang oleh Stampa, adalah terbatal dan permintaan mereka tidak boleh diterima dan justeru, mesti ditolak.
Sekretariat itu menegaskan, Malaysia komited dalam melindungi kedaulatannya dan menegakkan proses timbang tara di peringkat antarabangsa serta berhasrat untuk mendedahkan percubaan kotor kumpulan Sulu, bagi menguatkuasakan anugerah palsu yang terbatal dan tidak sah itu.
Sebelum ini, pada 6 Jun lalu, Malaysia sudah mencapai kemenangan muktamad di Perancis selepas Mahkamah Rayuan negara itu mengekalkan keputusan menolak penguatkuasaan anugerah berkenaan kepada kumpulan Sulu, yang diputuskan Stampa pada 2020.
Ia sekali gus menolak tuntutan tidak masuk akal yang dikemukakan kumpulan berkenaan dan mereka tidak boleh bergantung kepada anugerah yang diputuskan di Perancis itu untuk sebarang tujuan.
Pada 2019, kumpulan Sulu membawa perkara berkenaan kepada penimbang tara Sepanyol untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah yang didakwa dipajak nenek moyang mereka kepada syarikat perdagangan British pada 1878.
Stampa, yang dilantik penuntut itu pada 28 Februari 2022 membuat keputusan yang berpihak kepada mereka dan mengeluarkan anugerah akhir sebanyak AS$14.9 bilion terhadap Malaysia hasil daripada timbang tara tidak sah walaupun sebelum ini pembatalan pelantikannya sebagai penimbang tara oleh mahkamah Sepanyol.
Kumpulan itu kemudian membawa kes berkenaan ke Mahkamah Paris, sebelum mahkamah itu pada 14 Mac lalu, mengekalkan mengekalkan perintah penggantungan yang diperoleh Malaysia terhadap penguatkuasaan anugerah berkenaan.
Pada 2 Februari lalu, Mahkamah Perlembagaan Sepanyol, menolak rayuan perlembagaan luar biasa yang difailkan kumpulan berkenaan, berhubung pembatalan pelantikan Stampa sebagai penimbang tara.
Pada 14 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setakat ini, penuntut Sulu mengambil tindakan undang-undang terhadap Malaysia di empat negara iaitu Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda, dan kerajaan Malaysia sudah dan sedang mengambil pelbagai tindakan balas perundangan terhadap mereka.
BHonline-


