KUALA LUMPUR: Boustead Holdings Bhd sedang mempertimbangkan untuk melupuskan perniagaan stesen minyaknya di Malaysia, Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd mengendalikan BHPetrol pada harga RM2 bilion.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menurut laporan Bloomberg yang memetik sumber, konglomerat itu sedang bekerjasama dengan penasihat untuk menjual BHPetrol, yang mempunyai kira-kira 400 stesen minyak di seluruh Malaysia.
Beberapa syarikat minyak dan gas serta firma pelaburan telah menunjukkan minat terhadap urus niaga itu, kata sumber yang meminta tidak dikenali kerana proses itu adalah sulit.
Perbincangan sedang berjalan dan Boustead masih boleh memutuskan untuk tidak meneruskan penjualan, kata sumber terbabit.
Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) baru-baru ini berjaya mengambilalih Boustead dengan penguasaan 97.63 peratus kepentingan pada tarikh tutup tawaran 12 Jun lalu.
Dengan pegangan saham LTAT dalam BHB sebanyak itu membenarkan Boustead untuk dinyahsenaraikan dan menggunakan peruntukan Pengambilalihan Wajib bagi baki saham, lantas menjadikannya anak syarikat milik penuh LTAT.
Selaras dengan itu, Boustead akan mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk mengemukakan permohonan kepada Bursa Securities bagi mengeluarkan status penyenaraiannya daripada Senarai Rasmi Bursa Securities, selaras dengan perenggan 16.07 Keperluan Penyenaraian.
Dalam satu kenyataan hari ini, Boustead berkata ia akan mula melaksanakan strategi baharu dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk memperhebatkan lagi transformasi kumpulan di bawah struktur pegangan saham baharu setelah selesai proses nyahsenarai.
BHonline-


